LEDANG 29 Ogos - Hanya 300 daripada kira-kira
5,000 petani di daerah ini yang menggunakan mikroorganisma efektif (EM)
untuk meningkatkan produktiviti tanaman dan mengawal penyakit ternakan
sejak ia diperkenalkan tiga tahun lalu.
Pegawai Pertanian Daerah, Abdullah Rashidi berkata, jumlah itu
yang hanya mencapai lima peratus penggunaannya masih terlalu rendah
sedangkan kempen dan penjelasan mengenai kesan serta manfaat penggunaan
EM telah dilakukan.
"Salah satu sebab petani tidak menggunakan EM kerana mereka tidak
mahu menggantikan kaedah pertanian tradisional yang menggunakan racun
dan baja dengan teknologi EM.
"Penggunaan EM adalah satu bentuk pertanian moden kerana ia lebih
mesra alam, menjimatkan dan memberi impak untuk jangka masa yang panjang
terhadap tanaman atau digunakan dalam sektor ternakan.
"Mereka hanya menggunakannya apabila diberi secara percuma," katanya
selepas mengiringi Pengarah Pertanian negeri, Adnan Mat Kassim melawat
ladang ternakan dan kilang memproses EM di Felcra Kundang Ulu, dekat
sini hari ini.
Abdullah berkata, penggunaan EM iaitu sejenis bakteria baik yang
melawan dan mengawal bakteria jahat telah terbukti berkesan bagi merawat
serta menyuburkan tanah dan menghilangkan penyakit cacing yang memakan
akar pokok.
Selain itu, katanya, EM memberi daya tahan terhadap tanaman untuk
melawan penyakit di samping menyingkirkan asid dan kandungan lain dalam
tanah yang menyebabkan pokok tidak subur atau mati.
Menurutnya, penggunaan EM dengan cara semburan akan mengaktifkan
bakteria baik itu yang bertindak 24 jam sehari tanpa henti dan pada
peringkat awal semburan perlu dilakukan secara kerap mengikut kadar
ditetapkan.
"Bagi sektor ternakan pula, EM boleh digunakan untuk ternakan
komersial kambing, lembu, arnab, ayam, itik dan sebagainya dengan cara
dimandikan atau diberi minum. Ternakan akan sihat dan gemuk," katanya.
Sementara itu, pemilik ladang tersebut, Azman Md. Rasip
berkata, EM sudah diusahakannya sejak tiga tahun lalu dan penggunaan
terhadap tanaman dan ternakan sememangnya berjaya meningkatkan hasil.
Jelasnya, salah satu kejayaan adalah dapat menghilangkan bau busuk
kandang ternakannya selain mengekalkan kesihatan kerana ternakan seperti
arnab atau kambing sangat sensitif dan mudah dijangkiti penyakit.
Azman berkata, setiap seliter botol EM dijual dengan harga RM5 dan
penggunaanya tidak terhad untuk pertanian atau perladangan tetapi juga
bagi menghilangkan bau busuk di rumah.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 30 OGOS 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan