PENGUNJUNG SETIA

08 Ogos 2012

DUA BERADIK TAK SEMPAT CARI DUIT


Ledang: Hasrat dua beradik mencari `duit raya' awal dengan menjual pelbagai jenis mercun tidak kesampaian apabila diberkas polis petang kelmarin.

Penahanan pemuda berusia 17 dan 19 tahun itu susulan serbuan polis ke rumah mereka di Kampung Serom 6, Sungai Mati, dekat sini kira-kira jam 5.30 petang hari sama.

Dalam serbuan itu, polis menemui hampir 300 kotak membabitkan 23 jenis mercun selain wang tunai RM219.10 dipercayai hasil jualan bahan larangan itu, dua buku resit kecil serta mesin pengira.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, berkata dua beradik itu dipercayai berkongsi modal kira-kira RM6,000 untuk membeli mercun dan bunga api berkenaan dengan harapan dapat menjualnya dan meraih keuntungan kirakira RM4,000.

"Mereka yang bekerja sebagai pekebun ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan pihak terbabit terutama pembekal mercun dan bunga api berkenaan," katanya di sini semalam.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menjual, membeli atau menjalankan aktiviti berkaitan mercun serta bunga api dan mengingatkan hanya dua jenis mercun iaitu Pop-Pop dan Happy Boom dibenar dimainkan sempena perayaan ini.

SUMBER: BH, 08 OGOS 2012

Tiada ulasan: