LEDANG 2 Ogos - Badan Kebajikan Imam-Imam Daerah Ledang, Jawatankuasa
Imam-Imam Masjid Kariah Daerah Ledang serta Pemuda UMNO bahagian itu
hari ini menerima permohonan maaf sebuah pusat tuisyen di Tangkak yang
memaparkan karikatur menghina sahabat Nabi Muhammad SAW baru-baru ini.
Penerimaan permohonan maaf itu dilakukan dalam satu sidang akhbar di
Pejabat UMNO di sini yang turut dihadiri Pengurus pusat tuisyen
tersebut, Lim Lee Yee bersama tenaga pengajar yang bertanggungjawab
menyediakan bahan atau nota ringkas menghina Islam, Fu Chong Yoong.
Pengerusi Badan Kebajikan Imam-Imam Daerah Ledang, Salimin Abd. Ghani
berkata, pihaknya menerima permohonan maaf tersebut walaupun merasa
cukup terhina dan kecewa dengan perbuatan ditunjukkan guru terbabit.
Penerimaan maaf itu katanya, adalah kerana umat Islam tidak pernah
berdendam, namun, tidak akan menarik balik laporan polis yang dibuat di
Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang, di sini kelmarin.
"Kita memang rasa amat berat untuk memaafkan tetapi atas rasa
kesedaran dan sifat pemaaf orang Islam, ini dilakukan. Laporan polis
juga kita tidak tarik balik kerana biarlah ia menjadi peringatan kepada
semua," katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Ledang, Zaidi Abd. Majid berkata,
pihaknya menerima permohonan maaf tersebut selepas melihat kesungguhan
dan keikhlasan Chong Yoong.
"Kita harap mana-mana pihak yang ingin menghasilkan bahan pelajaran
seperti ini supaya merujuk dahulu kepada orang Islam. Sekarang ini
terlampau banyak penghinaan terhadap Islam sama ada sengaja atau tidak
disengajakan," katanya.
Tegas Zaidi, pihaknya juga tidak akan menarik laporan polis tersebut
kerana tidak mahu selepas ini terdapat pihak lain sewenang-wenangnya
mempermainkan agama Islam.
Sabtu lalu, Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin mendedahkan perkara
itu dalam satu sidang akhbar dan mendesak polis segera menyiasat selain
menuntut pusat tuisyen tersebut memohon maaf.
Kebiadapan itu disedari apabila seorang pelajar sekolah menengah
terjumpa nota tersebut di tepi longkang pusat tuisyen berkenaan pada 4
Julai lalu sebelum menyerahkan kepada salah seorang kakitangan Pejabat
Agama Daerah Ledang sebelum satu laporan polis dibuat pada 26 Julai
lalu.
Pusat tuisyen milik bukan orang Islam itu melukiskan 16 karakter
sahabat nabi antaranya Zubir Al-Awwam dilukis dengan wajah khinzir, Amir
Fuhairah diletakkan gambar wanita dengan bahagian dadanya terbuka dan
ditutup dengan tulisan Cina, begitu juga lukisan Uthman Affan
dikelilingi tiga wanita seolah-olah kaki perempuan.
Ekoran itu, Badan Kebajikan Imam-Imam Daerah Ledang, Jawatankuasa
Imam-Imam Masjid Qariah Daerah Ledang, Pemuda UMNO Ledang dan Persatuan
Guru-Guru al-Quran Ledang telah membuat laporan polis pada hari yang
sama.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 03 OGOS 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan