LEDANG 31 Julai - Badan Kebajikan Imam-imam
Daerah Ledang dan Jawatankuasa Imam-imam Masjid Qariah Daerah Ledang,
hari ini membuat laporan polis berhubung kegiatan sebuah pusat tuisyen
di sini, yang menghina Islam dalam nota ringkas bagi mata pelajaran
Sejarah tingkatan empat dengan memaparkan karikatur menghina sahabat
Nabi Muhammad SAW.
Laporan tersebut dibuat pukul 10.30 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPPD) Ledang di sini dengan disertai oleh kira-kira 10 wakil badan
tersebut yang diketuai oleh Pengerusinya, Salimin Abd. Ghani.
Salimin berkata, pihaknya membantah dan mengutuk sekeras-kerasnya
perbuatan pusat tuisyen berkenaan yang dianggap keterlaluan, biadab dan
tidak boleh dimaafkan.
"Perbuatan ini jelas mengguris hati dan menyentuh sensitiviti umat
Islam, khususnya di Ledang. Karikatur itu satu penghinaan terhadap Islam
dan kami tidak rela agama ini dipermainkan sewenang-wenangnya oleh
pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Saya sangat terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara ini dan
sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kami tampil membuat laporan
polis supaya tindakan dapat diambil," katanya ketika ditemui di sini
hari ini.
Sabtu lalu, Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin mendedahkan perkara
itu dalam satu sidang akhbar dan mendesak polis menyiasat selain
menuntut pusat tuisyen tersebut memohon maaf.
Perkara itu disedari 4 Julai lalu apabila seorang pelajar sekolah
menengah terjumpa nota tersebut di tepi longkang pusat tuisyen berkenaan
sebelum menyerahkan kepada salah seorang kakitangan Pejabat Agama
Daerah Ledang (PADL) dan seterusnya laporan polis dibuat pada 26 Julai
lalu.
Pusat tuisyen itu melukiskan 16 karakter sahabat Nabi, antaranya
Zubir Al-Awwam dilukis dengan wajah khinzir, Amir Fuhairah pula
diletakkan gambar wanita dengan bahagian dadanya terbuka dan ditutup
dengan tulisan Cina, begitu juga lukisan Uthman Affan dikelilingi tiga
wanita seolah-olah kaki perempuan.
Salimin berkata, tindakan pantas terhadap pusat tuisyen berkenaan
perlu dilakukan dan hukuman setimpal wajar dikenakan sebagai pengajaran
kepada bukan Islam yang menyakitkan hati umat Islam.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 01 OGOS 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan