PENGUNJUNG SETIA

08 Ogos 2012

TAK SEMPAT BELANJA HASIL JUALAN MERCUN

Wartawan Sinar Harian
Tak sempat belanja hasil jualan mercun
Harun (kanan) menunjukkan mercun dan bunga api yang berjaya dirampas polis IPD Ledang dalam serbuan di sebuah rumah di Sungai Mati, Ahad lalu.

LEDANG – Dua beradik terpaksa apabila hasratnya untuk memiliki wang lebih sebagai persiapan menyambut Aidilfitri dengan menggunakan keuntungan hasil jualan mercun tidak kesampaian apabila mereka ditahan polis, Ahad lalu.

Dalam serbuan jam 5.30 pagi itu, remaja berusia 19 dan 17 tahun ditahan dalam sebuah rumah di Sungai Mati, dekat sini.

Turut dirampas 200 kotak yang mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api, dianggarkan bernilai RM10,000, bersama wang tunai RM219 dipercayai hasil jualan mercun itu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, suspek yang juga anak yatim piatu dipercayai baru sahaja terbabit dalam kegiatan itu, kira-kira seminggu lalu.

Menurutnya, kegiatan mereka berjaya dihidu polis beberapa hari lalu, melalui risikan yang dijalankan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, yang diketuai Inspektor Mohd Nor Mohd Isa, sebelum menyerbu rumah berkenaan.

“Rumah ini dipercayai tempat tinggal suspek yang turut menjadi stor simpan bahan terlarang itu sebelum dijual kepada pelanggan di sekitar daerah ini.

“Siasatan awal mendapati, remaja berkenaan memperoleh bekalan mercun daripada orang tengah yang dibeli dengan harga RM6,000,” katanya pada sidang media di IPD Ledang, di sini, semalam.

Beliau berkata, mercun tersebut dipercayai untuk kegunaan Aidilfitri tidak lama lagi dan diedarkan kepada pelanggan di sekitar daerah ini.

Katanya, kedua-dua suspek melakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjual mercun untuk menyara hidup selepas kematian ibu bapa mereka.

“Mereka ditahan reman sehingga esok (hari ini) untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207), mereka boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu, Harun menasihati orang ramai supaya tidak terbabit dengan aktiviti menjual dan membakar mercun.

“Polis akan giat menjalankan operasi untuk membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 08 OGOS 2012

Tiada ulasan: