PENGUNJUNG SETIA

14 September 2010

POLIS BERSAMA ANAK MAUT


BEGINILAH keadaan lori dan kereta dinaiki lima sekeluarga selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 237.3 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran susur keluar Pedas, Negeri Sembilan, semalam.


REMBAU 13 Sept. - Empat hari selepas menyambut Aidilfitri, hasrat seorang anggota polis menghadiri majlis tahlil arwah bapanya di kampung tidak kesampaian apabila dia bersama anak perempuannya maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran susur keluar Pedas-Linggi di sini hari ini.

Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 6.45 pagi di Kilometer 237.3 lebuh raya itu meragut nyawa Koperal Rubaie Abdul Rahman, 41, dan anak perempuannya, Nur Azira, 15.

Bagaimanapun, isteri mangsa, Rashidah Abdul Samad, 37, serta dua anak mereka yang berusia 5 dan 9 tahun hanya mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut. Identiti kedua-dua anak mereka tidak dapat dikenalpasti.

Jurucakap polis berkata, kemalangan berlaku ketika lima sekeluarga itu menaiki kereta jenis Proton Waja dari Ijok, Kuala Selangor menuju ke kampung halaman mereka di Muar, Johor. (iNFOLEDANG: Mereka hendak pulang ke kampung halaman Allahyarham Rubaie di Kampung Sungai Bilah, Bukit Gambir, Ledang. Bapa Allahyarham, Abd Rahman Jotorono telah meninggal dunia setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kluang beberapa bulan lepas.)

Bagaimanapun, katanya, sebaik sahaja kenderaan keluarga itu tiba di tempat kejadian, ia dikatakan gagal dikawal lalu merempuh sebuah lori yang dipercayai berhenti di lorong kanan lebuh raya itu akibat mengalami kerosakan.

"Berikutan rempuhan itu, kereta keluarga tersebut remuk di bahagian hadapan dan menyebabkan mangsa dan anak perempuannya meninggal dunia di tempat kejadian.

"Rubaie maut selepas mengalami kecederaan serius di kepala dan badan manakala anaknya meninggal dunia selepas tercampak keluar dari kereta," katanya ketika ditemui di sini.

Menurut jurucakap polis, isteri mangsa dan anak perempuan berusia 5 tahun hanya mengalami luka-luka kecil manakala seorang lagi anak perempuan mangsa berusia 9 tahun cedera di kaki dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban.

Pemandu lori berusia 59 tahun itu pula sempat keluar dari kenderaannya dan dia hanya mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan masih dirawat di Hospital Alor Gajah Melaka, katanya.

Beliau memberitahu, sejurus selepas kemalangan itu, tiga buah kenderaan yang mengekori belakang kereta mangsa turut terlibat dalam kemalangan tetapi kesemua penumpang kenderaan terbabit hanya mengalami cedera ringan.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah berkata, mangsa yang bertugas di Pondok Polis Ijok meninggal dunia dan dibawa ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.

"Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kita akan mengambil kesemua keterangan dari mereka yang terlibat termasuk pemandu lori terbabit," ujarnya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 14 SEPTEMBER 2010

Tiada ulasan: