PENGUNJUNG SETIA

09 September 2010

SULTAN JOHOR CIPTA SEJARAH


Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar


JOHOR BAHRU 8 Sept. – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar buat julung-julung kali mencipta sejarah Kesultanan Johor apabila mengadakan sambutan Hari Raya Aidilfitri di luar bandar raya ini iaitu di Istana Tanjung, Muar.

Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abd. Rahim Ramli berkata, pada hari raya pertama, baginda akan menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Sultan Ibrahim, Muar.

Katanya, sejurus selepas selesai menunaikan solat tersebut, Sultan Ibrahim akan meraikan rakyat dengan mengadakan rumah terbuka di Istana Tanjung, Muar mulai 9.30 hingga 12 tengah hari dan dari 2.30 hingga 4 petang.

“Langkah mengadakan sambutan di Istana Tanjung, merupakan kali pertama dalam sejarah kesultanan Johor, yang bertujuan bermesra dan mendampingi rakyat.

“Apa yang dilakukan oleh Sultan Johor merupakan titik permulaan mengadakan hari terbuka di daerah-daerah secara bergilir pada masa akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Jelas Abd. Rahim, bagi memeriahkan misi itu sebenarnya baginda telah bersemayam di Istana Tanjung, sejak 30 Ogos lalu dengan menghadiri majlis berbuka puasa dan bersahur bersama penduduk setempat.

“Apa yang membanggakan baginda bersama ahli keluarga telah berbuka puasa bersama penghulu-penghulu, ketua-ketua kampung dan ketua-ketua jabatan daerah sama ada di Istana Tanjung mahupun di rumah-rumah rakyat di kampung terpilih.

Sementara itu Abd. Rahim berkata, pada hari yang sama Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibrahim Sultan Ibrahim akan menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Abu Bakar, di sini dan mengadakan hari terbuka di Istana Besar dari 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Sempena sambutan Aidilfitri itu juga, katanya, Sultan Ibrahim turut meneruskan tradisi yang diwarisi sejak zaman Almarhum Sultan Ibrahim iaitu menziarahi makam-makam termasuk makam ayahandanya, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail serta makam nenek moyang di Makam Mahmoodiah serta Makam Temenggung di Teluk Belanga, Singapura.

“Tradisi ini diwarisi dan diteruskan pada setiap sehari sebelum sambutan Aidilfitri dan hari keputeraan baginda,” jelasnya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 09 SEPTEMBER 2010

Tiada ulasan: