PENGUNJUNG SETIA

12 September 2010

FELCRA AGIH DIVIDEN

KUNDANG ULU - Seramai 290 peserta menerima dividen Januari hingga Ogos 2010 bernilai RM10,085 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM2,924,680 di samping bonus tunai Aidilfitri bernilai RM1,600 untuk setiap peserta di Dewan Terbuka PPKSB Kundang Ulu, baru-baru ini.

Majlis penyampaian dividen Aidilfitri 2010 peserta Koperasi Peserta Felcra Kundang Ulu Berhad (KPRFKUB) dan Perladangan Peserta Kundang Sdn Bhd dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Mohd Taat, hadir sama, Pengurus PPKSB, Mohd Sharif Abd Rahman; Ketua Peserta dan Pengerusi KPRFKUB, Mohd Rasip Rabikon; Penghulu Mukim Bukit Serampang, Kamalul Azmi Ain dan Pengerusi Wanita Dinamis Rancangan (Wadira), Muslimah Abd Mukti.

Tahir berkata, konsep permuafakatan yang diterapkan sesebuah koperasi menjadi faktor penting dalam memajukannya untuk manfaat keseluruhan ahli yang menganggotainya dan hasil proaktif kepimpinan koperasi di samping sokongan padu ahlinya berjaya mengembangkan aktiviti koperasi dalam meningkatkan ekonomi dan menjana keuntungan.

“Bila koperasi berkembang maju hasil permuafakatan ahli yang memberikan sokongan kepada pentadbiran dan Ahli Lembaga Pengarah koperasi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka, pulangan yang bakal dinikmati anggota begitu menggembirakan mereka.

“Faktor kejayaan koperasi ini hasil daripada doa semua ahli disertai kerjasama dan muafakat yang kukuh di samping usaha gigih pihak pentadbiran yang sentiasa mendapatkan peluang mengembangkan perniagaan bagi meningkatkan ekonomi koperasi,” katanya.

Beliau berkata, setiap ahli koperasi perlu bersyukur apabila menikmati pulangan dividen dan bonus menjelang Aidilfitri yang cukup lumayan serta peserta harus gunakan dividen yang diperoleh ini secara berhemah dengan menyimpan sebahagiannya untuk kegunaan pada masa akan datang.

“Saya cadangkan agar peserta wanita dan isteri peserta yang menganggotai Wadira mengambil langkah meningkatkan ekonomi mereka dengan memasarkan produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang diusahakan mereka walaupun secara kecil-kecilan.

“Wadira sebagai pusat pengumpulan produk PKS yang diusahakan oleh isteri peserta seperti kuih tradisional dan sebagainya dengan menggunakan label dan cara pembungkusan yang menarik dapat membantu dalam peningkatan penjualan hasil produk mereka,” katanya dalam ucapan pada majlis penyerahan dividen kepada peserta Koperasi Peserta Felcra Kundang Ulu Berhad dan Perladangan Peserta Kundang Sdn Bhd di sini.

Seorang peserta, Rasip Rabikon berkata, peserta perlu bersyukur kerana dapat dividen untuk kegunaan Aidilfitri dan keperluan harian dan mereka diingatkan supaya tidak boros dalam berbelanja dan perlu gunakan dividen ini dengan sebaik mungkin.

“Sumbangan turut disampaikan kepada fakir miskin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Serampang seramai 20 orang dengan RM100 seorang,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 12 SEPTEMBER 2010

Tiada ulasan: