PENGUNJUNG SETIA

20 September 2010

RM4 JUTA MUNGKIN SATU SINDIKET

LEDANG – Rakyat Johor dinasihatkan tidak terpengaruh dengan pemberian sumbangan RM4 juta bagi setiap seorang dengan syarat mereka perlu membayar RM1,000 bagi mendapatkan sumbangan tersebut.

Menurut seorang penduduk yang tidak mahu namanya dikenali berkata, berita mengenai pemberian sumbangan ini telah tersebar meluas di sini dan ramai yang teruja untuk mendaftarkan diri bagi mendapatkan peruntukan wang tunai yang dijanjikan termasuk dirinya.

“Saya seakan-akan tidak percaya dengan berita yang diuar-uarkan ini kerana jumlah besar wang tunai tersebut agak mustahil untuk diberikan kepada penduduk Johor yang berdaftar malah dikhuatiri tidak mendapat pengesahan daripada mana-mana pihak jabatan negeri Johor.

“Beberapa syarat turut dikenakan oleh pihak pengurusan sumbangan kepada mereka yang berminat bagi memastikan prosedur mendapatkan sumbangan RM4 juta ini berjalan lancar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Beliau berkata, setakat ini sudah ramai menyertainya namun beliau kurang yakin dan tidak berani menanggung risiko membantutkan niatnya untuk turut sama berdaftar bagi mendapatkan peruntukan yang sedang hangat diperkatakan oleh penduduk di sini.

“Syarat yang dikenakan bagi yang berminat ialah mereka perlu menyediakan tiga salinan kad pengenalan, akaun bank dan tiga keping gambar berukuran pasport dan seterusnya diwajibkan hadir di tempat yang dijanjikan untuk menerima sumbangan tersebut pada 20 September ini.

“Kalau perkara ini betul dan sah serta tidak mendatangkan kerugian tidak mengapa, apa yang dirisaukan ialah takut sumbangan tersebut merupakan satu sindiket dengan menggunakan nama pertubuhan amal seperti yang dikhabarkan oleh pihak berkenaan,” katanya.

Menurut Kadi Daerah Ledang, As Syeikh Sulaiman Maidin ketika dihubungi Sinar Harian bagi mendapatkan pengesahan berkata, beliau yang tidak tahu menahu dengan berita ini terkejut apabila diberitahu mengenai dana yang menjadi buah mulut penduduk Ledang terutamanya di Tangkak.

“Kalau ada perkara yang berkaitan dana negeri Johor pasti saya akan dimaklumkan terlebih dahulu dan bukannya dibuat secara persendirian begini tanpa ada campur tangan daripada pihak jabatan kerajaan.

“Oleh itu, saya mengesahkan bahawa pihak Pejabat Kadi Daerah Ledang tidak mendapatkan sebarang maklumat mengenai pemberian dana yang dikhabarkan dan saya menasihatkan agar penduduk Ledang tidak mudah percaya serta tertipu dengan sindiket yang ingin mengaut keuntungan secara haram daripada masyarakat setempat,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 20 SEPTEMBER 2010