PENGUNJUNG SETIA

01 September 2010

RAMADAN BUKAN ALASAN

TANGKAK – Sebanyak 71 barisan terdiri daripada jabatan kerajaan, badan berkanun, sekolah dan sebagai mengambil bahagian dalam perbarisan Hari Kemerdekaan yang disambut di Dataran Ledang, Tangkak, semalam.

Sambutan Hari Kemerdekaan ke–53 tetap meriah walaupun disambut pada Ramadan ketika umat Islam sedang sibuk menunaikan ibadah puasa dan perasmian sambutan di daerah ini dilaksanakan wakil Menteri Besar Johor, Datuk Maurizan Bujang.

Beliau berkata, tema kemerdekaan pada tahun ini iaitu ‘Satu Malaysia Menjana Transformasi’ diharap dapat membantu meningkatkan ekonomi negara dan juga pengerat perpaduan antara kaum yang pelbagai di Malaysia.

“Pemilihan Malaysia sebagai tempat ke-37 daripada 100 negara terbaik dunia oleh sebuah majalah antarabangsa membuktikan bahawa negara Malaysia merupakan satu negara yang maju dan cemerlang daripada segi daya saing, ekonomi, taraf kehidupan, kesihatan, pendidikan dan juga alam sekitar amat membanggakan.

“Kejayaan yang dicapai kini adalah hasil usaha dan kerjasama semua kaum dalam memainkan peranan mereka untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju seiring dengan perkembangan teknologi yang dinikmati oleh dunia,” katanya.

Menurutnya, banyak negara yang mencapai kemerdekaan sama tempoh dengan Malaysia tidak berjaya mengekalkan kemerdekaan negara mereka berikut tiadanya persefahaman antara kalangan rakyat mereka.

“Oleh sebab itu, kita perlu sedar bahawa perpaduan adalah tunjang kepada negara supaya kemerdekaan dan kedaulatan negara dapat diperkukuhkan sehingga ke masa akan datang terutama bagi negara Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa.

“Selain itu, masyarakat terutama generasi muda perlu menghargai dan beringat akan pengorbanan para pemimpin dan pejuang kemerdekaan negara dalam usaha mereka membebaskan negara daripada penjajah yang membinasakan anak bangsa Malaysia,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 01 SEPTEMBER 2010

Tiada ulasan: