PENGUNJUNG SETIA

12 Januari 2013

GENG AYIE BMW TUMPAS

Wartawan Sinar Harian
Geng Ayie BMW tumpas
Sahadan (kiri), menunjukkan sebuah kereta mewah yang berjaya dijumpai hasil dari serbuan di sebuah rumah di Tanjung Agas.
 
LEDANG - Polis menahan tiga lelaki dipercayai ahli geng Ayie BMW di sebuah rumah di Tanjung Agas, Ledang, dekat sini, Rabu lalu selepas disyaki terlibat dalam kes curi dua kereta mewah milik seorang ahli perniagaan bergelar datuk, di Melaka yang bernilai kira-kira RM800,000.

Ahli kumpulan terbabit yang masing-masing berusia 19, 20 dan 21 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 malam selepas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menerima maklumat berkaitan kejadian curi kereta kira-kira jam 5 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, pihaknya menghantar sepasukan anggota menyerbu rumah berkenaan dan merampas sebuah kereta mewah BMW 6 Series dianggarkan bernilai RM600,000 yang disembunyikan kumpulan terbabit di sebuah rumah di kampung itu.

Menurutnya, turut dirampas pelbagai peralatan diguna untuk memecah rumah dan kenderaan seperti tukul, parang, ragum, senjata tajam dan dadah yang disembunyikan dalam rumah berkenaan.

“Kumpulan terbabit disyaki mencuri dua kereta mewah itu daripada rumah seorang Datuk di Melaka sebelum menyembunyikannya di sini. Sebuah daripada kereta berkenaan iaitu Mini Cooper bernilai kira-kira RM260,000 ditemui sekitar jam 4 petang, hari ini (semalam) yang ditinggalkan di tepi jalan.

“Ahli kumpulan terbabit berjaya ditahan hanya kira-kira 18 jam selepas mereka melakukan kegiatan jenayah di Melaka,” katanya pada sidang akhbar di IPD Muar, semalam.

Sahadan berkata, kumpulan terbabit yang dipercayai dianggotai lebih daripada tiga orang itu juga didapati melakukan kira-kira lima kes pecah rumah di sekitar daerah ini sejak lebih setahun lalu dengan melibatkan kerugian kira-kira RM300,000.

Beliau berkata, pihaknya juga menemui pelbagai barang kemas yang sudah dibakar dipercayai bagi mengeluarkan emas sebelum dijual kepada pihak tertentu selain ujian dadah mendapati mereka positif ketamin.

“Tiga lelaki terbabit yang berasal dari Ledang kini ditahan reman sehingga 16 Januari mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.

Sahadan berkata, pihaknya juga meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan dua lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan kumpulan itu.

Sehubungan itu katanya, pihaknya ingin menghubungi Khairul Azrul Abdul Latiff, 21, beralamat di Kampung Pulai, Melaka serta Ahmad Kushairi Mohd Saari, 26, berasal dari Kuala Kangsar, Perak bagi membantu siasatan.

“Kepada mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Sahadan berkata, dua pengedar dadah serta 26 penagih ditahan menerusi operasi selama tiga hari membabitkan Jabatan Narkotik IPD Muar di sekitar daerah ini dan Pagoh yang berakhir kelmarin.

Katanya, dua pengedar berkenaan yang masing-masing berusia 29 dan 35 tahun ditahan di Bakri serta Pagoh dan pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah.

SUMBER: SINAR HARIAN, 12 JANUARI 2013

Tiada ulasan: