PENGUNJUNG SETIA

20 Januari 2013

JB TERTINGGI DAPAT BANTUAN AWAL SEKOLAH

ABDUL Ghani Othman (tengah) menyampaikan replika cek kepada Ahmad Othman sambil diperhati Mohd. Nor Abd. Ghani dalam majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 Peringkat Negeri Johor 2013 di Sekolah Menengah Sains Muar, baru-baru ini. 
 
LEDANG 19 Jan. - Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Johor Bahru mencatatkan daerah tertinggi menerima Bantuan Awal Persekolahan RM100 iaitu RM11.8 juta daripada jumlah keseluruhan RM60.5 juta yang membabitkan 605,848 pelajar di negeri ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Nor Abd. Ghani berkata, PPD Pasir Gudang menjadi daerah kedua tertinggi menerima bantuan itu iaitu RM11.4 juta dengan 114,380 penerima.

"Ini diikuti PPD Batu Pahat menerima bantuan sebanyak RM7.7 juta, PPD Muar (RM7.1 juta), PPD Kulaijaya (RM5.4 juta), PPD Kluang (RM5.2 juta), PPD Segamat (RM3.7 juta), PPD Kota Tinggi (RM3.3 juta), PPD Pontian (RM3.2 juta) dan PPD Mersing (RM1.4 juta).

"Pengagihan bantuan bermula 15 hingga 31 Januari ini, bertujuan membantu mengurangkan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 Peringkat Negeri Johor 2013 di Sekolah Menengah Sains Muar dekat sini kelmarin.

Penyampaian bantuan disempurnakan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom. 

Yang turut hadir Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri; Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin; dan Pegawai Pelajaran Daerah Muar, Ahmad Othman.

Mohd. Nor berkata, jabatan pelajaran dan pengurusan sekolah diberikan tanggungjawab untuk menguruskan bantuan mengikut peraturan bagi memastikan pengagihan berjalan lancar.

Beliau memberitahu negeri ini turut menerima bantuan lain daripada Kementerian Pelajaran, termasuklah Kumpulan Wang Amanah Pelajar (KWAP), Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) dan Biasiswa Prauniversiti yang berjumlah hampir RM150 juta pada tahun lalu.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, pemberian bantuan yang diperuntukkan melalui pembentangan Bajet 2013 yang lalu itu merupakan sentuhan hati kerajaan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

"Ini menjadi pendekatan baharu kerajaan untuk membantu rakyat secara langsung dan diberikan secara adil kepada semua pelajar dan murid yang terdiri pelbagai bangsa. Kerajaan berkemampuan memberikan pelbagai bantuan yang jelas membuktikan kerajaan menepati janjinya membela dan mengutamakan rakyat," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 20 JANUARI 2013

Tiada ulasan: