PENGUNJUNG SETIA

09 Januari 2013

PERSATUAN IBU TUNGGAL SASAR TAMBAH AHLI

 Ab Majid(duduk kiri) merakam kenangan bersama ahli Anggun selepas pelancaran persatuan itu di Kompleks Penghulu Mukim Kesang.

LEDANG 8 Jan. - Persatuan Ibu Tunggal Anugerah Gigih Untuk Najjah (Anggun) Mukim Kesang menyasarkan menambah bilangan ahli berdaftar kepada 400 orang tahun ini.

Penaungnya, Ab. Majid Mistam berkata, sejak ditubuhkan Jun lalu, persatuan itu kini mempunyai 280 ahli berdaftar dengan Hal Ehwal Wanita (Helwa) dan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) serta bilangannya akan ditingkatkan untuk memperkasakan golongan itu.

Menurutnya, dalam mukim itu ramai ibu tunggal yang mempunyai pelbagai latar belakang dan mereka akan dikenal pasti supaya tidak ada yang terabai.

"Kita mahu ibu tunggal di mukim berkenaan memainkan peranan sama penting dengan golongan lelaki membangunkan kawasan Kesang.

"Jawatankuasa Anggun akan menubuhkan Biro Kebajikan, Kaunseling dan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana yang berperanan mengesan ibu tunggal yang mempunyai kemahiran," katanya semasa ditemui dalam majlis pelancaran Persatuan Ibu Tunggal Anggun di Kompleks Penghulu Mukim Kesang, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Helwa Daerah Ledang, Furaidah Othman dan Pengerusi persatuan berkenaan, Azizah Md. Top.

Ab. Majid berkata, Anggun juga merancang menghantar ahli-ahlinya mengikuti latihan intensif bagi meningkatkan kemahiran supaya mereka boleh berdikari menjana pendapatan masing-masing.

"Ada kalangan ahli persatuan yang mengusahakan perniagaan industri kecil dan sederhana berupaya memasarkan produk mereka ke luar daerah," katanya.

Sementara itu, Furaidah melahirkan rasa bangga kerana Kesang merupakan mukim pertama dalam daerah ini yang menubuhkan persatuan untuk membela nasib ibu tunggal.

"Menyertai persatuan ini bukan membuang masa, tetapi sebagai peluang meningkatkan motivasi bagi menikmati kehidupan yang lebih berkualiti," katanya. 

"Ibu tunggal yang memerlukan bantuan diminta tidak berasa malu untuk mengajukan masalah kepada pemimpin setempat," katanya.

 SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 09 JANUARI 2013

Tiada ulasan: