LEDANG 30 Mac - Keceriaan jelas terpancar pada wajah 42 peserta
Ekspedisi Menawan Puncak Gunung Ledang yang berjaya menyempurnakan misi
mereka malam kelmarin selepas lebih empat jam pendakian penuh cabaran.
Segala kesukaran dan keperitan mereka menawan puncak Gunung Ledang
berketinggian 1,276 meter dari paras laut dengan melalui trek berbatu,
gaung dan terpaksa menggunakan tali nyata berbaloi.
Malah kejayaan itu lebih manis apabila mereka disambut dan diraikan
oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim dan
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat.
Ekspedisi anjuran Pejabat Pendidikan Agama Daerah (PPAD) Ledang
dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) DUN Serom
dan Pertubuhan Nelayan Kawasan (PNK) Ledang bermula serta berakhir di
Taman Legenda Gunung Ledang.
Abd. Mutalip dalam ucapan penutupnya berkata, program tersebut unik
dan lain daripada biasa kerana menggabungkan warga pendidik, komuniti
setempat dan anak nelayan.
"Program ini julung kali diadakan. Sebelum ini apabila mahu
menganjurkan program seumpama ini kita banyak bangkitkan perkara
negatif. Usaha dakwah perlu diubah bagi memastikan dapat bersama-sama
orang muda," katanya.
Pegawai Pendidikan Agama Daerah Ledang, Khalid Ithnin pula berkata,
program berkenaan bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara
masyarakat setempat, golongan belia dan persatuan nelayan daerah.
"Hasrat menganjurkan program ini sudah lama dirancang. Program selama
tiga hari ini yang acara kemuncaknya mendaki Gunung Ledang turut
diisikan dengan beberapa pengisian rohani, antaranya tazkirah, solat
berjemaah dan qiamullail," katanya.
Seorang peserta, Mohd. Rohaizat Zainal, 25, wakil belia dari PNK
Ledang mengakui gembira dapat bersama-sama menjayakan ekspedisi tersebut
walaupun mengalami kesukaran semasa mendaki dan menuruni puncak gunung
itu pada waktu malam.
"Pelbagai rintangan dilalui. Saya mendapat luka-luka kecil,
tergelincir dan sebagainya, namun tidak mematahkan semangat kami.
Kesakitan yang dihadapi hilang apabila masing-masing berjaya menawan
puncak gunung ini," katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 31 MAC 2014
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 31 MAC 2014