PENGUNJUNG SETIA

30 Mac 2014

MANGSA KEBAKARAN TERIMA BANTUAN AWAL

LEDANG 29 Mac - Keluarga pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah terbakar di Kampung Parit Haji Idris, Bukit Gambir dekat sini kelmarin, mendapat perhatian kerajaan.

Selain wakil rakyat, turut melawat Abdul Halim Mokhtar, 55, isterinya, Afidah Md. Arif, 53, dan anak-anaknya yang ditimpa musibah itu adalah agensi-agensi kerajaan terbabit.

Bantuan awal diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM3,000, Majlis Agama Islam Negeri Johor (RM5,000) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M. Asojan dengan sumbangan peribadi (RM500).

Selain itu, Pemuda UMNO Bahagian Ledang turut memberi sumbangan kewangan dan peralatan kepada keluarga malang tersebut.

Asojan berkata, sumbangan itu merupakan bantuan awal sementara menunggu siasatan serta laporan kebakaran tersebut selesai.

"Diharapkan bantuan itu nanti dapat membantu keluarga mangsa membina tempat berteduh yang baharu selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran," katanya ketika ditemui selepas melawat keluarga mangsa di sini semalam.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Pegawai JKM Daerah, Ab. Ghani Abu Bakar; Penghulu Mukim Gersik, Ishak Abu Bakar; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang, Sahrihan Jani dan Ketua Kampung Parit Haji Idris, Keliwon Mohamed.

Dalam kejadian pukul 8.05 malam itu, Abdul Halim dan keluarganya sempat menyelamatkan diri selepas menyedari stor di belakang rumah terbakar, bagaimanapun tinggal sehelai sepinggang apabila rumah papan berusia 25 tahun itu musnah dijilat api.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 30 MAC 2014

Tiada ulasan: