PENGUNJUNG SETIA

11 Mac 2014

KERJASAMA MASYARAKAT BANTU POLIS TURUNKAN KADAR JENAYAH



 Mohd Mokhtar (tiga kiri) menyampaikan surat penghargaan kepada orang awam di Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang dekat Tangkak. 

Ledang: Seramai tujuh orang awam yang memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sehingga penjenayah berjaya ditumpaskan diberikan surat penghargaan  oleh Polis DiRaja Malaysia.

Mereka menyalurkan maklumat kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang mengenai kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan mereka sehingga berjaya memberkas penjenayah terbabit.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff (gambar), berkata kerjasama erat masyarakat negeri ini yang sentiasa mengutamakan kedamaian dan keselamatan dengan menyalurkan maklumat kegiatan jenayah kepada pihak polis amat dihargai.

Katanya, pihaknya akan terus bekerjasama bersama masyarakat dalam menurunkan kadar jenayah di negeri ini.

“Senjata paling canggih memerangi jenayah adalah kerjasama erat antara masyarakat dengan pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat berkaitan jenayah.

“Hasil kerjasama erat masyarakat ini, Polis Johor  enam tahun berturut-turut telah berjaya menurunkan kadar jenayah,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Ketua Polis Johor dan Ketua Polis Daerah Ledang Bersama Masyarakat Ledang di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang dekat Tangkak, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim; Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Mohd Salleh Abd Razak; Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd Razak Minhat dan Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Tahir Mohd Taat.

Mohd Mokhtar berkata, pihaknya akan terus berusaha sedaya upaya mengurangkan kadar jenayah di samping menghilangkan ketakutan masyarakat terhadap jenayah dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

Katanya, pihak polis juga berusaha mewujudkan suasana aman damai bagi menarik lebih ramai pelancong serta pelabur menjayakan projek Iskandar Malaysia. -iNFOLEDANG

Tiada ulasan: