PENGUNJUNG SETIA

05 Mac 2014

BAUCAR BR1M MUDAHKAN PENERIMA TIADA AKAUN BANK

SEBAHAGIAN penerimA bantuan menunggu giliran untuk mendapatkan BR1M di Kompleks Sukan Komuniti Pulau Penarik dekat Sungai Mati, Ledang, Johor, baru-baru ini.

LEDANG 4 Mac - Kaedah pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 masih diberikan dengan baucar kerana kerajaan tidak mahu menyusahkan rakyat yang tidak mempunyai akaun bank termasuk 11,028 penerima di daerah ini.
 

Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, jumlah BR1M yang dibayar menerusi baucar bagi daerah ini ialah kira-kira RM6.2 juta, melibatkan tiga kategori bagi empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
 

Beliau berkata, bagi kategori RM650, sebanyak 8,114 penerima yang layak membabitkan 2,147 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak, 1,718 (Serom), 2,481 (Gambir) dan 1,768 (Bukit Serampang), manakala untuk kategori RM450 pula melibatkan 397 penerima iaitu 98 di DUN Tangkak, 97 (Serom), 124 (Gambir) dan 78 (Bukit Serampang).
 

"Sebanyak 2,517 individu bujang menerima RM300 iaitu di DUN Tangkak (800), Serom (765), Gambir (509), manakala Bukit Serampang (443)," katanya dalam Majlis Penyampaian BR1M 3.0 Parlimen Ledang di Kompleks Sukan Komuniti Pulau Penarik, Sungai Mati di sini kelmarin.
 

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat; Pentadbir Tanah Daerah Ledang, Mohd. Shafiee Ahmad dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib.
 

Difahamkan, jumlah keseluruhan isi rumah yang menerima BR1M di daerah ini ialah kira-kira 28,000 orang, melibatkan lebih RM12 juta.
 
 
Hamim yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kerajaan memahami dan prihatin terhadap masalah serta situasi dihadapi rakyat dan melakukan yang terbaik untuk memudahkan mereka menuntut wang bantuan tersebut.
 

Bagi memudahkan penerima baucar menukarkannya dengan wang tunai, Pejabat Daerah Ledang melantik Maybank Cawangan Tangkak dan membuka kaunter penukaran untuk tujuan itu.
 
 
Sementara itu, seorang penerima BR1M, Md. Yusof Amat, 87, berterima kasih kepada kerajaan kerana menyalurkan BR1M kepada rakyat, khususnya warga emas yang kebanyakannya tidak lagi mampu melakukan pekerjaan.
 

"Walaupun hanya terima RM650 sahaja, namun saya bersyukur kerana bantuan itu dapat meringankan beban keluarga. Terima kasih kerajaan dan saya harap jumlah bantuan dinaikkan pada tahun depan," katanya yang datang bersama cucunya, Ahmad Hakim Mazlan dari Kampung Solok, Tangkak.
 

Sulipah Taib, 74, dari Kampung Sungai Bilah, Bukit Gambir turut bersyukur kerana selain menerima RM650, kerajaan juga memberikan perlindungan insurans kepada penerima BR1M.
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 05 MAC 2014

Tiada ulasan: