TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

29 Mac 2014

LETUPAN KECIL SELAMATKAN TIGA BERANAK DARIPADA RENTUNG

M Asojan (kiri) menyampaikan sumbangan kepada keluarga Abdul Halim Mokhtar yang kehilangan rumah akibat kebakaran di Kampung Parit Haji Idris dekat Bukit Gambir,Ledang, kelmarin.

LEDANG 28 Mac - Bunyi letupan kecil di stor belakang rumah berjaya menyelamatkan tiga beranak daripada rentung dalam satu kebakaran di Kampung Parit Haji Idris, Bukit Gambir, dekat sini semalam.

Ketika kejadian kira-kira pukul 8.05 malam itu, Abdul Halim Mokhtar, 55, berada di rumah bersama isteri, Afidah Md. Arif, 53, dan anak bongsunya, Siti Izzatul Akila, 14.

Menurut Abdul Halim, tiba-tiba dia terdengar bunyi letupan disusuli dengan lampu di ruang tamu yang berkelip-kelip sebelum ternampak percikan api di bahagian belakang rumahnya.

"Saya kemudian menyuruh Afidah dan Siti Izzatul Akila menyelamatkan diri.

"Dalam keadaan gelap dan kelam kabut, saya hanya sempat mematikan suis utama elektrik sementara dokumen penting dan pakaian tidak dapat diselamatkan kerana api marak begitu cepat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Abdul Halim yang mengusahakan makanan sejuk beku memberitahu, dia juga berjaya mengalihkan kereta Proton Saga BLM di halaman rumahnya manakala sebuah lagi kereta dan skuter di garaj hangus terbakar.

Menurutnya, walaupun dokumen penting dan barangan dalam rumah papan berusia 25 tahun itu musnah, dia bersyukur isteri dan anaknya terselamat.

"Saya bersyukur kerana kilang yang terletak berhampiran rumah yang menjadi sumber rezeki kami tidak terjejas," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, A. Hamid Awaludin yang mengetuai operasi itu berkata, satu jentera dengan enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada pukul 8.15 malam.

"Rumah kayu berkeluasan 378 meter persegi itu musnah keseluruhannya.

"Bagaimanapun api berjaya dikawal daripada merebak ke bangunan IKS bersebelahan. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M. Asojan, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah, Ab. Ghani Abu Bakar, Penghulu Mukim Grisek, Ishak Abu Bakar dan Ketua Pemuda UMNO Ledang, Sahrihan Jani datang melawat dan menghulurkan sumbangan kepada mangsa.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 29 MAC 2014

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

BERAPA BANYAK SI ASOJAN NI BAGI? DAH TERIMA KE BELUM....DIA PATUT BENA RUMAH BARU KAT MANGSA NI...BUKAN BAGI BANTUAN SAJE...