TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

28 Mac 2014

STOR MELETUP LAMPU BERKELIP

Oleh Hai Rozzaman Jalal


Ledang: "Ketika membaca al-Quran, tiba-tiba saya terdengar letupan kecil dari arah stor di belakang rumah," kata Abdul Halim Mokhtar, 55, yang tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya di Kampung Parit Haji Idris, Bukit Gambir, di sini, musnah dalam kebakaran, kelmarin.

Menurutnya, sejurus letupan kecil kedengaran, lampu di ruang tamu rumahnya tiba-tiba berkelip menyebabkan dia bangun untuk menyiasat apa yang berlaku dalam kejadian pada jam 8 malam itu.

"Sebaik pulang daripada menunaikan solat Maghrib di surau, seperti biasa saya membaca al-Quran, bagaimanapun tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi letupan kecil dari stor sebelum mendapati api marak.

"Dalam keadaan panik dan gelap, saya cuba menyelamatkan dokumen penting dan pakaian, namun tidak sempat kerana api marak dengan cepat dan hanya mampu mengalihkan kereta di depan rumah," katanya

Abdul Halim berkata, ketika kejadian dia bersama isteri, Afidah Md Arif, 53, dan anak bongsunya, Siti Izzatul Akila, 14, berada di rumah manakala ahli keluarga lain belum pulang dari tempat bekerja.

"Sebuah kereta PROTON Saga dan skuter yang diletakkan di garaj di sebelah rumah turut musnah disambar api apabila kami tidak sempat mengalihkannya.

"Walaupun dokumen penting dan barangan dalam rumah berusia 25 tahun itu hangus, saya bersyukur kerana isteri dan anak terselamat," katanya.

Abdul Halim yang mengusahakan makanan sejuk beku bersama isterinya turut bersyukur kerana kilang terletak berhampiran rumahnya tidak terjejas.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir A Hamid Awaludin yang mengetuai operasi itu berkata, sebaik menerima panggilan pada jam 8.15 malam, sebuah jentera dengan enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

SUMBER: HARIAN METRO, 28 MAC 2014

Tiada ulasan: