85 tauke dadah berjaya ditahan


LEDANG – Seramai 85 pengedar dadah di daerah ini berjaya ditahan melalui beberapa siri tangkapan Jabatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Mohd Salleh Razak berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 23 kes berbanding tahun sebelumnya.  

Menurutnya, tiga wanita berusia 27, 29 dan 37 tahun turut ditahan disyaki menjadi pengedar dadah dan kesemua yang ditahan didapati positif dadah jenis syabu dan morfin selain mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

“Permintaan terhadap penggunaan dadah juga meningkat sebanyak 41.8 peratus iaitu 730 kes tahun lalu, manakala 515 kes pada 2012.

“Bilangan penagih dadah yang ditangkap tahun lalu ialah 731 orang meningkat sebanyak 93 tangkapan berbanding 2012. 

Mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 50-an termasuk penagih tegar,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Ketua Polis Johor 2014 di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Serom 4, semalam.

Beliau berkata, 20 peratus daripada mereka juga merupakan penagih berulang yang pernah ditangkap dua atau tiga kali sebelum ini.

Katanya, dadah jenis heroin merupakan rampasan terbesar tahun lalu kira-kira sebanyak 1,336.86gram (gm) dengan nilai pasaran yang dianggarkan ialah RM200,530. Manakala syabu pula rampasan kedua terbesar dengan berat 444.35 gm yang bernilai RM74,060.

“Keseluruhan rampasan bahan terlarang seberat 1781.21 gm dianggarkan bernilai RM306,500 dan boleh menampung bekalan kepada 9,700 penagih.

“Seramai 2,200 penagih telah dikenakan tindakan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah sejak IPD Ledang ditubuhkan sehingga akhir 2013,” katanya.

Sementara itu katanya, 131 penagih lain dikenakan pengawasan mengikut balai-balai di daerah Ledang tahun ini.

Dalam perkembangan kejayaan lain, Mohd Salleh berkata, seramai 23 lelaki diberkas menerusi Ops Lejang dan Cantas Khas yang dilakukan pada Januari hingga Disember tahun lalu.

“Dalam operasi tersebut, motosikal, sebuah kereta Honda City, 11 telefon bimbit, satu loket emas, satu surat pajak gadai dan peralatan meleraikan motosikal berjaya dirampas,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 15 MAC 2014