PENGUNJUNG SETIA

23 Mac 2014

WAU, LAYANG-LAYANG TARIKAN BAHARU LEDANG

Wartawan Sinar Harian

LEDANG -  Satu lagi produk pelancongan  baharu dijangka  diperkenalkan di daerah ini  dalam usaha menarik lebih ramai pelancong mengunjungi daerah Ledang yang terkenal dengan pelbagai tarikannya.

Ahli Parlimen Ledang, Datuk Hamim Samuri berkata, produk terbaharu itu lebih bercirikan santai serta mempunyai nilai kebudayaan masyarakat Melayu tetapi  berbentuk program iaitu Cabaran Aspirasi Rentap Wau dan Layang-layang.

“Kita akan jadiknya sebagai acara tahunan selepas melihat kejayaan penganjuran yang dibuat oleh Pergerakan Pemuda Umno  Bahagian Ledang dan Majlis Belia Daerah Ledang.

“Produk pelancongan sedia ada yang lain ialah kawasan rekreasi Gunung Ledang dan bandar tekstil Tangkak,” katanya ketika merasmikan program itu di Kampung Sawah Ring, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Umno Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib, Ketua Pemuda Umno Bahagian Ledang, Sahrihan Jani dan Ketua Kampung Sawah Ring, Hussin Mohamed.

Menurutnya, faktor angin dan kawasan sawah padi sesuai dijadikan lokasi pertandingan wau dan layang-layang.

Hamim berkata, program itu dapat perkenalkan kawasan sawah padi di Sawah Ring kepada pengunjung.

Tambahnya, pertandingan itu membolehkan peserta menonjolkan kreativiti dan bakat  dalam membuat wau dan layang-layang.

“Seramai 26 peserta menyertai pertandingan wau dan  12 peserta bagi kategori layang-layang,” katanya.

Mohd Masdanial Jailani ungguli kategori layang-layang dan menerima RM100; kedua, Mohd Syafiq Ali (RM70); ketiga, Mohd Arifudin Saiman (RM50) dan keempat, Mohd Irfan Azman (RM30).

Kategori wau dijuarai, Mohd Syafiq Md Sangit (RM200); tempat kedua, Mohamad Anuar (RM100); ketiga, Azhari Sadeli (RM50) dan keempat, Khudhairi Jais (RM30).

SUMBER: SINAR HARIAN, 23 MAC 2014

Tiada ulasan: