TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

31 Mac 2014

USTAZ, ANAK NELAYAN TAWAN GUNUNG LEDANG

ABD. Mutalib Abd. Rahim ( berdiri lima dari kanan) dan Abd. Razak Minhat ( berdiri lima dari kiri) bersama peserta Ekspedisi Menawan Puncak Gunung Ledang di Taman Legenda Gunung Ledang, baru-baru ini.
LEDANG 30 Mac - Keceriaan jelas terpancar pada wajah 42 peserta Ekspedisi Menawan Puncak Gunung Ledang yang berjaya menyempurnakan misi mereka malam kelmarin selepas lebih empat jam pendakian penuh cabaran.
Segala kesukaran dan keperitan mereka menawan puncak Gunung Ledang berketinggian 1,276 meter dari paras laut dengan melalui trek berbatu, gaung dan terpaksa menggunakan tali nyata berbaloi.
Malah kejayaan itu lebih manis apabila mereka disambut dan diraikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat.
Ekspedisi anjuran Pejabat Pendidikan Agama Daerah (PPAD) Ledang dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) DUN Serom dan Pertubuhan Nelayan Kawasan (PNK) Ledang bermula serta berakhir di Taman Legenda Gunung Ledang.
Abd. Mutalip dalam ucapan penutupnya berkata, program tersebut unik dan lain daripada biasa kerana menggabungkan warga pendidik, komuniti setempat dan anak nelayan.
"Program ini julung kali diadakan. Sebelum ini apabila mahu menganjurkan program seumpama ini kita banyak bangkitkan perkara negatif. Usaha dakwah perlu diubah bagi memastikan dapat bersama-sama orang muda," katanya.
Pegawai Pendidikan Agama Daerah Ledang, Khalid Ithnin pula berkata, program berkenaan bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat setempat, golongan belia dan persatuan nelayan daerah.
"Hasrat menganjurkan program ini sudah lama dirancang. Program selama tiga hari ini yang acara kemuncaknya mendaki Gunung Ledang turut diisikan dengan beberapa pengisian rohani, antaranya tazkirah, solat berjemaah dan qiamullail," katanya.
Seorang peserta, Mohd. Rohaizat Zainal, 25, wakil belia dari PNK Ledang mengakui gembira dapat bersama-sama menjayakan ekspedisi tersebut walaupun mengalami kesukaran semasa mendaki dan menuruni puncak gunung itu pada waktu malam.
"Pelbagai rintangan dilalui. Saya mendapat luka-luka kecil, tergelincir dan sebagainya, namun tidak mematahkan semangat kami. Kesakitan yang dihadapi hilang apabila masing-masing berjaya menawan puncak gunung ini," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 31 MAC 2014

Tiada ulasan: