PENGUNJUNG SETIA

27 Disember 2010

HANTAR KE PUSAT PEMULIHAN


LEDANG – Setiap keluarga yang mempunyai ahlinya yang terjebak dengan najis dadah disaran supaya menghantar mereka ke pusat pemulihan berhampiran untuk menjalani rawatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Negeri Johor, Dr Robia Kosai berkata, pusat pemulihan terbabit mempunyai kepakaran dan keupayaan untuk merawat penagih-penagih dadah sama ada tegar atau sebaliknya.

Menurutnya, pada masa yang sama penagih yang sedang mengikuti proses pemulihan juga perlu diberikan layanan sebaiknya supaya niat mereka untuk pulih daripada pengaruh tidak terjejas.

“Kerajaan mensasarkan untuk menjadi sebuah negara yang bebas daripada masalah dadah pada tahun 2015.

“Penglibatan seluruh ahli keluarga sangat diperlukan bagi supaya hasrat ini dapat direalisasikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Kecemerlangan Penghuni Pusat Pemulihan Penagih Narkotik (Puspen) Muar dan Ledang di sini, baru-baru ini.

“Statistik di Johor menunjukkan seramai 1,633 penagih dadah pada tahun 2009 dan bilangan ini meningkat sebanyak 331 pada bulan Mac tahun ini.

“Agensi Anti Dadah memperkenalkan satu program khas iaitu klinik 1Malaysia ’Cure and Care’ di beberapa pusat pemulihan terpilih,” katanya.

Robia berkata, pusat terpilih itu terletak di Sungai Besi, Bukit Mertajam, Tampoi, Kuching, Papar dan Kota Bahru yang menyediakan perkhidmatan rawatan, kaunseling bukan hanya kepada penagih tetapi juga kepada keluarga dan majikan mereka.

“Tiada satu pendekatan yang boleh digunakan untuk mencegah, merawat dan menyelesaikan masalah yang dihadapi penagih dan pusat pemulihan ini terpaksa mengambil pelbagai konsep yang sesuai.

“Kami juga mahu keluarga atau penagih datang ke pusat ini dengan rela hati menjalani rawatan pemulihan,” katanya.

Katanya, kesemua penagih perlu berdaftar di pusat terbabit dan menjalani beberapa proses penilaian sebelum dirawat.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 27 DISEMBER 2010

Tiada ulasan: