PENGUNJUNG SETIA

07 Disember 2010

DEWAN BARU SIAP DIBINA SEMULA

Oleh Junita Mat Rasid

Bangunan SK Parit Bunga tidak ikut spesifikasi ditetapkan

LEDANG: Dewan Serbaguna Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Bunga dekat sini yang sudah lebih setahun disiapkan tetapi belum sempat digunakan, apabila bumbung dan dinding dewan itu terpaksa dirobohkan semula dan dibaik pulih selepas penilaian mendapati bangunan berkenaan tidak selamat digunakan.
Bangunan bernilai kira-kira RM340,000 itu dibina bagi memberi kemudahan kepada lebih 1,000 murid dan kakitangan sekolah berkenaan tetapi selepas dewan disiapkan, ia didapati tidak mengikuti spesifikasi ditetapkan dan boleh membahayakan keselamatan pengguna.
Sehubungan itu, selepas lebih setahun dibiarkan, akhirnya bangunan berkenaan terpaksa dibaik pulih semula dengan semua bumbung asal, beberapa tiang utama dan dindingnya dirobohkan dan diganti dengan baru.

Tinjauan Berita Harian mendapati kerja baik pulih bangunan itu giat dijalankan sejak akhir bulan lalu dengan keseluruhan bumbung asal dibuang dan digantikan bumbung baru, manakala dinding di belakang pentas serta tiang juga ditukar.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Parit Bunga, Kamaruddin Jauhad, berkata kerja baik pulih terpaksa dilakukan selepas bangunan disiapkan didapati tidak mengikut spesifikasi.

“Bumbung bangunan itu akan ditukar semula, malah tiang dewan juga diganti baru kerana tiang yang lama didapati tidak selamat sehingga kita tidak sanggup menerima dewan itu walaupun ia sudah lama disiapkan kerana dikhuatiri akan menyebabkan kejadian tidak diingini.

“Ada kemungkinan ia runtuh, sekali gus mewujudkan risiko kepada keselamatan murid dan kakitangan sekolah yang akan menggunakan dewan berkenaan,” katanya.

Selain itu beliau berkata, kedudukan dewan di tepi jalan utama termasuk di tepi Jambatan Kedua menyebabkan pihaknya bimbang pendedahan terhadap gegaran yang kuat dan berterusan boleh menyebabkan bangunan yang tidak mengikut spesifikasi roboh dan menyebabkan kemalangan jiwa.

Katanya, hasil perbincangan dengan pihak berwajib, pihaknya mengambil keputusan supaya bangunan itu dibaik pulih terlebih dulu dan diubah suai dengan membabitkan beberapa perubahan besar bagi memastikannya selamat digunakan.

Beliau berkata, kerja membaik pulih bangunan itu membabitkan kos hampir RM200,000 dan ia dijalankan sejak akhir November dan dijangka disiapkan Mac tahun depan.

Bangunan itu boleh menampung 1,050 murid untuk pelbagai kegiatan termasuk perhimpunan sekolah dan kegiatan kokurikulum.

Kamaruddin turut berterima kasih kepada Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Daerah Ledang kerana mengambil inisiatif untuk membaik pulih bangunan itu.

Mengenai kontraktor asal projek itu, Kamaruddin berkata, beliau dimaklumkan bahawa kerajaan belum membayar keseluruhan kos pembinaan itu menyebabkan pihak kontraktor asal dipercayai hanya akan dibayar mengikut kerja yang mengikut spesifikasi ditetapkan iaitu jauh lebih rendah berbanding kos asal, selain perkhidmatannya dihentikan dan diganti dengan kontraktor baru.

SUMBER: BERITA HARIAN, 7 DISEMBER 2010

Tiada ulasan: