PENGUNJUNG SETIA

03 Disember 2010

DAERAH BERSIH AGENDA UTAMA


LEDANG - Setelah diisytiharkan sebagai daerah baru, Majlis Daerah Tangkak (MDT) begitu optimistik menjadikan daerah Ledang terkenal sebagai daerah yang bersih sebagai agenda utama.

Bagi merealisasikan hasrat itu, MDT menubuhkan Pasukan Tindakan Kebersihan (PTK) pada 1 November lalu dan dirasmikan baru-baru ini.

Yang Dipertua MDT, Amran Abd Rahman berkata, seramai 10 anggota PTK terdiri daripada Unit Kesihatan dan Landskap.

Menurutnya, penubuhan pasukan tersebut berikutan isu kebersihan persekitaran di daerah itu sering menjadi sebutan daripada masyarakat dan pembayar cukai kerana kerja pembersihan tidak dilakukan dengan sempurna oleh pihak MDT.

“Rentetan daripada ini, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor mengadakan Mesyuarat ‘Post Exco’ pada 27 Ogos dan 3 September lalu.

“Dalam mesyuarat ini menekankan tentang kebersihan di kawasan MDT yang perlu ditangani terutamanya di kawasan tempat tumpuan, jalan utama atau protokol dan taman perumahan,” katanya selepas melancarkan pasukan tersebut di sini, baru-baru ini.

Katanya lagi, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (MMK) bersetuju dengan cadangan penubuhan pasukan tersebut.

Pada masa sama, kesemua ahli pertubuhan terbabit dianggotai oleh kakitangan MDT itu sendiri.

“Antara bidang kerja pasukan ini adalah membuat rondaan di kawasan bandar dan perumahan bagi mengesan masalah.

“Pasukan itu juga akan mengadakan kerja pembersihan serta merta di kawasan taman perumahan dan jalan protokol utama,” katanya.

Selain itu, pasukan terbabit juga memfokuskan kerja mengutip dan melupuskan sampah longgok serta menurap lubang di jalan utama di sekitar kawasan taman perumahan di daerah Ledang.

Amran berkata, usaha tersebut termasuk dalam kerja landskap seperti mencantas pokok atau dahan yang jatuh dalam jangka waktu yang ditetapkan.

“Bahkan, turut melaksanakan kerja pembersihan yang cepat pada parit tersumbat terutamanya ketika musim hujan,” katanya.

Selain itu, tugasan tersebut akan dibuat mengikut jadual yang ditetapkan dari satu taman ke taman yang lain.

“Seterusnya akan mengambil tindakan segera ke atas setiap aduan yang diterima daripada masyarakat dan juga mengikut kes kejadian wabak denggi.

“Dengan adanya pasukan ini, diharapkan MDT dapat mengatasi setiap aduan yang diterima serta meninggikan lagi taraf kebersihan dalam kawasan MDT,” katanya.

Justeru itu, Amran menggesa masyarakat supaya memberi kerjasama kepada MDT dan memberikan maklumat dengan menghubungi Hotline MDT di talian, 06-9781261 atau menghantar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) terus kepada YDP MDT ke 013-7226666.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 3 DISEMBER 2010

Tiada ulasan: