PENGUNJUNG SETIA

06 Disember 2010

CIPTA KECEMERLANGAN DALAM PENDIDIKAN



LEDANG – Kemeriahan majlis yang dipenuhi dengan pelbagai cara menarik masih tidak mampu melenyapkan suasana pilu dan sebak ketika meraikan persaraan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Serom 4, Rosman Bejol, 58, baru-baru ini.

Setelah bergelumang selama 35 tahun dalam bidang pendidikan, tibalah masanya beliau meninggalkan kerjaya yang dicintai dan sudah sebati dalam dirinya itu.

Dalam ucapan terakhirnya, beliau turut menitipkan pesanan kepada guru-guru sekolah berkenaan supaya ikhlas dalam meneruskan usaha untuk mencipta kecemerlangan di sekolah itu.

“Tugas guru sangat berat untuk membimbing dan mendidik murid-murid bagi memperoleh kejayaan serta cemerlang dalam setiap bidang yang diceburi sama ada akademik atau kokurikulum.

“Kerjasama di antara ibu bapa dengan pihak sekolah sangat penting dalam menentukan kejayaan anak-anak,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Katanya, diharapkan kejayaan yang dicipta itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

Tiada apa yang dapat dibanggakan apabila berjaya mencipta kegemilangan di setiap sekolah yang pernah berkhidmat.

Ia akan menjadi momen yang cukup indah untuk dikenang selepas meninggalkan kerjaya yang diceburi itu.

Bapa kepada lima anak itu turut mengecap zaman kegemilangannya apabila berjaya melonjak SK Serom 4 menjadi sekolah cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) peringkat daerah dan negeri bagi kategori Sekolah Kurang Murid (SKM) sebanyak lima tahun berturut-turut.

“Saya berharap pencapaian cemerlang yang diterima pihak sekolah akan berterusan dan kesinambungan itu akan diteruskan oleh bakal penggantinya dengan kerjasama erat guru, ibu bapa dan penduduk kampung,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 06 DISEMBER 2010

Tiada ulasan: