PENGUNJUNG SETIA

07 Disember 2010

RM83 JUTA HUTANG CUKAI TANAH


LEDANG – Sebanyak RM83 juta hutang cukai tanah Kerajaan Negeri yang masih tidak dijelaskan oleh pemilik tanah di Johor.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, nilai tersebut membabitkan jumlah yang sangat besar dan menyeru kepada pemilik tanah supaya segera menjelaskan cukai itu apabila menerima notis daripada Pejabat Tanah di daerah masing-masing, awal tahun hadapan.

Menurutnya, wang tersebut diperlukan untuk mengadakan pelbagai program termasuk pembiayaan biasiswa kepada pelajar-pelajar di Johor.

“Disebabkan liat untuk menjelaskan cukai ini, sebanyak RM83 juta cukai lampau yang terkumpul.

“Saya berharap mereka akan lebih bertanggungjawab dan segera melunaskan pembayaran pada tahun hadapan,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Geran Tanah kepada 176 penduduk di Kampung Teluk Rimba, Sungai Mati di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga terlalu lembut dalam meminta pemilik untuk menjelaskan pembayaran.

“Kami juga hanya mengenakan penalti kecil bagi pemilik yang lewat membayar cukai.

“Namun, mereka terus membiarkan notis ini, keadaan ini telah memaksa Kerajaan Negeri untuk menarik balik pemberian tanah itu,” katanya.

Abdul Ghani berkata, Kerajaan Negeri juga tidak akan meluluskan penjualan tanah tersebut yang diperuntukkan kepada orang ramai untuk tujuan berkahwin dua.

“Permohonan tanah Kerajaan Negeri dan penjualan tanah ini juga akan dirujuk semula dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk mengetahui sama ada lulus atau sebaliknya.

“Saya menegaskan di sini bahawa tidak akan membenarkan penjualan tanah yang diberikan oleh oleh Kerajaan Negeri untuk tujuan berkahwin dua,” katanya.

Menurutnya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri menerima banyak alasan daripada pemilik yang hendak menjual tanah berkenaan setelah mereka menerima geran tanah itu.

“Sesetengah daripada mereka mengatakan untuk menghantar anak melanjutkan pengajian ke universiti dan ada yang mengatakan sudah uzur serta tidak mampu menguruskan tanah ini.

“Pemberian tanah ini merupakan aset kepada penerima dan mereka sepatutnya menggunakan tanah ini sebaiknya untuk meningkatkan pendapatan, secara tidak langsung taraf hidup mereka menjadi lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya Kerajaan Negeri bersikap adil dalam pemberian tanah kepada orang ramai termasuk memberi plot tanah dan geran kepada kampung baru yang terdiri daripada komuniti Cina.

“Kebanyakan masalah geran di setiap kampung baru telah berjaya diselesaikan lebih daripada 30 tahun lalu.

“Kebanyakan rumah juga tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk Kerajaan Negeri memberi mereka plot tanah,” katanya.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri akan mengkaji semula dan permohonan mereka dan diberikan pertimbangan untuk mengenal pasti sama ada mereka sudah tinggal dalam tempoh yang lama di setiap kampung baru.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 07 DISEMBER 2010

Tiada ulasan: