PENGUNJUNG SETIA

18 Disember 2010

PUSPEN RAWAT 94 PESAKIT KETAGIHAN DADAH

LEDANG 17 Dis. - Program Cure & Care Klinik 1Malaysia yang beroperasi di Tampoi, Johor Bahru sehingga kini menerima seramai 94 pesakit untuk mendapatkan rawatan pemulihan dadah secara sukarela.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai berkata, perkembangan tersebut amat positif memandangkan klinik pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Tampoi itu baru beroperasi Oktober lalu.

"Kewujudan Cure & Care Klinik 1Malaysia ini bagi menyediakan alternatif rawatan dan pemulihan kepada seluruh warga Malaysia yang ketagihan dadah.

"Tanpa dikenakan sebarang prasyarat dan prosedur undang-undang, pelanggan sentiasa dipelawa ke pusat ini secara sukarela untuk didaftarkan dalam proses penilaian dan kemudiannya mendapatkan rawatan berdasarkan keperluan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Minggu Kecemerlangan Penghuni Puspen Muar di Sengkang, di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri, Sidek Jaffar; Komandan Puspen Muar, Mohd. Said Muharam dan Pengerusi Lembaga Pelawat Puspen Muar, Dr. Kamarudin Md. Tahir.

Hingga kini, konsep Puspen terbuka itu dilaksanakan di enam lokasi selain Tampoi iaitu Sungai Besi (Kuala Lumpur), Bukit Mertajam (Pulau Pinang), Kuching (Sarawak), Papar (Sabah) dan Kota Bharu (Kelantan).

Robia berkata, program Cure & Care diperkenalkan sejajar dengan keperluan dan trend penagihan dadah masa kini yang menjadi semakin kompleks serta mencabar.

"Saya berharap, penagih akan ambil peluang ini kerana rawatan yang diberikan adalah percuma dan mengikut keperluan mereka.

"Selain itu, ibu bapa yang mempunyai anak yang menagih dadah juga boleh gunakan perkhidmatan ini," katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Robia memuji semangat dan dedikasi pelatih Puspen dalam menjayakan pelbagai aktiviti kebudayaan dan sukan sempena minggu kecemerlangan berkenaan.

"Saya dimaklumkan, penglibatan penghuni dalam program ini bertujuan mencungkil bakat dan beri peluang kepada mereka untuk lebih yakin kepada diri sendiri.

"Saya berharap pelatih akan memiliki jati diri untuk meninggalkan segala tabiat buruk dan menjauhkan diri daripada dadah pada masa depan agar tidak memusnahkan harapan keluarga selama ini," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 18 DISEMBER 2010

Tiada ulasan: