PENGUNJUNG SETIA

08 Disember 2010

TANAH MENDAP MAKIN SERIUS


LEDANG – Masalah tanah mendap di Kampung Semandar, Gersik di sini dikenal pasti semakin serius dengan keadaan lubang yang kian mendalam telah menyukarkan kehidupan harian penduduk di kawasan terbabit.

Senario seperti itu menjadikan kira-kira 200 penduduk di sini terdedah kepada risiko bahaya yang boleh mengancam nyawa mereka.

Penduduk mendakwa masalah jalan mendap tersebut terjadi selepas peristiwa banjir besar yang melanda kampung tersebut pada tahun 2006.

Rentetan daripada itu, mendapan tanah telah berlaku dan saban hari keadaannya bertambah serius.

Dipercayai, sehingga kini jalan berlubang akibat mendapan berkenaan telah mencecah kedalaman sehingga tujuh kaki.

Penduduk berkenaan yang dikenali sebagai Ali, 45, berkata, jalan yang semakin teruk telah memaksa penduduk memasang tanda pancang kayu serta tali amaran sebagai peringatan kepada pengguna kenderaan.

Menurutnya, keadaan jalan itu amat menyukarkan ibu bapa menghantar dan mengambil anak-anak mereka di sekolah berkenaan jika berselisih dengan kenderaan lain seperti kereta dan juga lori.

“Lebih membimbangkan ialah keselamatan anak-anak yang ke sekolah dengan berbasikal kerana pada awal pagi keadaan jalan di sini agak gelap.

“Kadangkala anak-anak ini suka menaiki basikal dalam keadaan yang laju dan jika mereka gagal mengawal diri dan terjatuh ke dalam lubang ini, maka akan berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, ketiadaan lampu jalan di kawasan tanah mendap itu membuktikan risiko bahaya terdedah bukan hanya kepada penduduk kampung itu sahaja tetapi kepada orang luar yang baru memasuki kampung terbabit.

“Pihak berkuasa perlu mengkaji betul-betul tanah di kawasan ini sebelum membaiki semula jalan kerana kita tidak mahu masalah ini terus berulang,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mustafa Abd Ghani, 63, berharap aspek keselamatan orang ramai perlu diberi penekanan utama dalam mengatasi masalah tersebut.

Menurutnya, kami tidak mahu sudah berlaku sebarang insiden yang tidak diingini, barulah pihak berkenaan hendak mengambil tindakan.

“Penduduk di sini telah memaklumkan masalah ini kepada pihak berkenaan untuk tindakan susulan, tepi sehingga kini masih tidak mendapat sebarang perkembangan yang positif.

“Saya memohon jasa baik kepada pihak terbabit supaya mengambil berat dengan masalah ini dan dapat diatasi dengan segera kerana ia membabitkan keselamatan penduduk yang menggunakan jalan ini,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 8 DISEMBER 2010

Tiada ulasan: