TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

13 Januari 2012

250 PESAWAH GERSIK RUGI TERUK


TIGA pesawah (dari kiri), Selamat Md. Amin, Sepie Md. Yassin dan Zailan Sarmin melihat hasil padi mereka yang rosak akibat serangan penyakit di Kampung Sawah Ring, Ledang, semalam. Gambar kecil: contoh padi rosak akibat serangan penyakit.


LEDANG 12 Jan. - Kira-kira 250 pesawah di Kampung Sawah Ring, Gersik dekat sini berdepan dengan masalah kerosakan padi matang dan sedia untuk dituai sejak lima musim lalu.

Padi di kawasan seluas kira-kira 202 hektar itu terlerai daripada tangkainya serta tidak mempunyai isi.

Masalah ini dipercayai berpunca daripada sejenis hama yang menyerang tanaman padi.

Seorang pesawah, Selamat Md. Amin, 52, berkata, penyakit yang menyerang tanaman padi mereka semakin teruk sejak tiga musim lalu sehingga mengakibatkan kerugian besar.

Dia yang mengusahakan sawah seluas kira-kira 1.2 hektar sebelum ini mampu menghasilkan sehingga lima tan metrik bagi 0.4 hektar tetapi kini hanya dua tan yang mampu diperoleh.

"Keadaan ini membuatkan kami rugi kerana kos penanaman tinggi dan ia belum dicampur kos racun serta ubat yang digunakan bagi mengawal penyakit tersebut tetapi masih tidak berkesan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, sebelum ini, penyakit tersebut tidak pernah menyerang tanaman padi dan masalah itu telah beberapa kali diajukan kepada Jabatan Pertanian daerah tetapi turut buntu menyelesaikannya.

Zailan Sarmin, 46, yang mengusahakan sawah seluas 0.2 hektar berkata, pokok padi di peringkat awal tidak menampakkan tanda-tanda terkena penyakit itu tetapi selepas 30 hari, masalah itu mula kelihatan.

Menurutnya, penyakit tersebut menyerang semua jenis padi, termasuk benih yang mahal dan berharap Jabatan Pertanian melakukan kajian secepat mungkin kerana pendapatan pesawah amat terjejas.

Sepie Md. Yassin, 58, yang mengusahakan 2.5 hektar sawah pula berkata, penyakit itu bukan sahaja berlaku di sawah mereka sahaja, tetapi juga kawasan lain, termasuk di Bukit Gambir.

Dia yang sudah 40 tahun mengusahakan sawah berkata, jika masalah itu tidak ditangani segera, ia akan memusnahkan keseluruhan tanaman dan jadual penanaman padi iaitu dua musim setahun juga akan terganggu.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 13 JANUARI 2012

Tiada ulasan: