PENGUNJUNG SETIA

06 Januari 2012

PEKEBUN RUGI RM3,000 SEBULAN

Oleh Hai Rozzaman Jalal
bhjb@bharian.com.my


 Ramli meninjau kebun kelapa sawit  di Kampung Parit Kassim,  Bukit Gambir yang digenangi air sejak tiga bulan lalu.
Ramli meninjau kebun kelapa sawit di Kampung Parit Kassim, Bukit Gambir yang digenangi air sejak tiga bulan lalu.

Takungan air 0.3 meter sejak tiga bulan jejas hasil sawit Parit Kassim

BUKIT GAMBIR: Kira-kira 20 pekebun sawit sekitar Parit Kassim di sini mendakwa kerugian antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan selepas tidak dapat mengeluarkan hasil komoditi apabila kebun masing-masing digenangi air.

Mereka mendakwa, tidak dapat memetik serta mengeluarkan buah kelapa sawit sejak tiga bulan lalu apabila air bergenang dalam kawasan kebun akibat hujan lebat dan tidak dapat mengalir keluar ke parit berhampiran.

Pekebun, Ramli Satari, berkata air yang bertakung dalam kebun akibat hujan lebat tidak mengalir keluar berikutan sistem perparitan di kawasan itu tidak diselenggara dan dipenuhi rumput tebal.

Katanya, keadaan itu menyebabkan hampir 40 hektar kebun sawit yang terletak di sepanjang parit berkenaan digenangi air sedalam 0.3 meter yang menyukarkan pekebun mengeluarkan hasil untuk dipasarkan.

“Kami terpaksa menanggung kerugian antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan sejak tiga bulan lalu apabila buah kelapa sawit tidak dapat dipetik dan busuk di atas pokok.

“Air bertakung dalam kebun kami berikutan sistem perparitan yang mengalirkan air dari kebun ke Sungai Sawah Ring dipenuhi rumput tebal yang menghalang saliran,” katanya, di sini.

Ramli berkata, sepatutnya sistem perparitan di kawasan itu dibersihkan secara berkala bagi melancarkan pengaliran air ke sungai berdekatan, walaupun berlaku musim tengkujuh.

Pekebun, Badrulhisham Abu Bakar, berkata kebun sawit milik ibunya turut terjejas apabila tidak dapat dikeluarkan hasilnya berikutan air bertakung di seluruh kawasan kebun berkenaan.

Katanya, keadaan kebun yang digenangi air menyebabkan pekerja tidak mahu memetik buah kelapa sawit dan mengakibatkan ibunya terpaksa menanggung kerugian serta ketiadaan pendapatan.

Pekebun, Tee Kim Soon, meminta pihak yang berkenaan menyegerakan kerja penyelenggaraan membersihkan sistem perparitan kawasan itu bagi membolehkan pemilik kebun mengeluarkan hasil.

Katanya, apabila sistem perparitan kawasan itu bersih daripada rumput rumpai, aliran air menjadi lebih lancar, sekali gus membolehkan memetik buah kelapa sawit.

SUMBER: BERITA HARIAN, 6 JANUARI 2012

Tiada ulasan: