PENGUNJUNG SETIA

29 Januari 2012

BOLEH BUAT RAYUAN


MUHYIDDIN Yassin ditemani isterinya, Noorainee Abdul Rahman menyampaikan wang Bantuan Rakyat 1Malaysia kepada Tan Beng Hwat @ Tan Bak San di Balai Serba Guna Lenga, Pagoh, Johor, semalam.


LEDANG 28 Jan. - Pemohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang ditolak permohonan mereka walaupun layak, dibenarkan membuat rayuan atau memohon semula.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka yang tidak berpuas hati boleh berjumpa pegawai daerah atau pemimpin setempat bagi mengemukakan permohonan semula.

"Bagi yang ditolak permohonan tersebut ada sebab-sebab tertentu, mungkin mereka tidak memahami syarat kelayakan atau pun borang maklumat tidak lengkap.

"Kalau ada yang tidak puas hati boleh jumpa pegawai daerah atau pemimpin tempatan, mereka boleh bantu buat rayuan dan akan dipertimbangkan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Orang Ramai di rumah pegawai khasnya, Lim Pey Heng di Kampung Kebun Baru di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka yang layak tetapi belum memohon BR1M diminta berbuat demikian sebelum tarikh tutup pada bulan depan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diharap mempercepatkan proses permohonan itu.

Menurut beliau, bagi pemohon yang menghantar borang BR1M melepasi tarikh tutup, kerajaan sedia menimbang permohonan itu sekiranya memenuhi syarat atau menyatakan alasan munasabah berbuat demikian.

Terdahulu, beliau menyampaikan baucar BR1M kepada kira-kira 100 penerima dari zon Bukit Kepong dan Lenga di Balai Serba Guna Lenga dekat sini.

Muhyiddin berkata, kira-kira 80 peratus rakyat Malaysia menikmati BR1M dan penerima perlu berterima kasih serta bersyukur dengan keprihatinan kerajaan meringankan bebanan hidup rakyat.

Pada satu majlis lain, Timbalan Perdana Menteri turut menyampaikan geran hak milik tanah kepada 118 peserta Felcra Paya Kepar dan merasmikan Balai Raya Kampung Kechik, Bukit Kepong dekat sini.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berharap tanah berkenaan akan terus diusahakan seperti sebelum ini dengan kerjasama Felcra melalui kaedah pertanian moden yang mampu menjana pendapatan tinggi.

"Harap skim pembangunan tanah sebelum ini dapat diuruskan Felcra kerana kalau tidak, akan ada tanah terbiar. Kalau masih dengan Felcra, kita boleh bantu bina tali air, beri benih ikan dan sebagainya," katanya.

Mengenai permintaan peserta tersebut supaya menaikkan elaun sara hidup kepada RM800 sebulan daripada RM240 sekarang sementara fasa penanaman semula mengeluarkan hasil, beliau berkata, Felcra sedia menimbangkannya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 29 JANUARI 2012

Tiada ulasan: