PENGUNJUNG SETIA

17 Januari 2012

KARAH SERANG PADI


Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

LEDANG: Pejabat Pertanian Daerah mengenal pasti penyakit menyerang tanaman padi di Kampung Sawah Ring di sini, hingga menjejaskan hasil pesawah sejak setahun lalu.

Pegawainya, Abdullah Rashidi, ketika dihubungi berkata penyakit itu dikenali sebagai karah dan menyebabkan padi menjadi kosong namun ada racun boleh mengatasi masalah itu.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan dan meninjau kawasan didakwa diserang penyakit itu malah memberi khidmat nasihat kepada pesawah terbabit.

"Pejabat Pertanian Daerah sudah turun padang untuk membantu pesawah dalam menangani masalah karah menyerang padi mereka.

"Kami juga sudah memberikan panduan penggunaan racun sesuai kerana kami tidak membekalkan racun itu secara percuma dan hanya memberi khidmat nasihat kepada mereka," katanya.

Ketika Harian Metro meninjau kawasan berkenaan minggu lalu, pesawah mendakwa kerugian lebih separuh daripada pendapatan mereka apabila padi ditanam diserang sejenis penyakit.

Pesawah mendakwa, sebelum ini mereka memperoleh pendapatan lebih RM3,000 bagi setiap 0.4 hektar, namun kini hasilnya terjejas teruk dengan pesawah hanya mengutip RM200 bagi tempoh semusim penanaman padi.

Penurunan hasil itu disebabkan penyakit mengakibatkan isi padi menjadi hampas dan tidak boleh diproses menjadi beras.

Abdullah berkata, penyakit menyerang tanaman itu boleh dikawal tetapi bergantung kepada penggunaan racun malah cara penggunaannya penting bagi memastikan kawalan optimum.

Katanya, ketika ini, ramai pesawah di kawasan itu menggunakan benih padi hibrid jenis MR220CL yang boleh menghasilkan padi lebih banyak, bagaimanapun mungkin kurang daya tahan terhadap penyakit karah berbanding padi angin.

SUMBER: HARIAN METRO, 17 JANUARI 2012

Tiada ulasan: