TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

19 Januari 2012

SINDIKET CURI MOTOSIKAL TUMPAS


HARUN Idris melihat rangka dan beberapa komponen motosikal curi yang ditemui selepas tertangkapnya ahli sindiket curi motor di IPD Ledang dekat Tangkak, Johor, kelmarin.


LEDANG 18 Jan. - Satu sindiket curi motosikal di daerah ini tumpas setelah polis menahan tujuh lelaki yang berumur antara 19 hingga 24 tahun di dua lokasi berasingan, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, seorang suspek ditangkap pukul 9 pagi di Kampung Parit Kasan, dekat Bukit Gambir dan selebihnya pukul 2.50 petang di Kampung Serom, Sungai Mati.

"Antara yang ditahan ialah pelatih Giat Mara, pekerja kedai makan dan lain-lainnya menganggur. Dipercayai mereka sudah menjalankan kegiatan mencuri motosikal sejak tahun lalu.

"Hasil siasatan kita menemui banyak komponen motosikal terutama jenis RXZ yang telah dileraikan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, Tangkak di sini semalam.

Menurutnya, kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Sementara itu, polis turut menahan dua lelaki berumur 43 dan 48 tahun apabila menemui sepucuk pistol tiruan, sebatang kayu besbol dan besi panjang di dalam kereta yang dinaiki mereka di Dataran Ledang di sini, baru-baru ini.

Dalam kes lain, empat lelaki Cina ditahan ketika leka bermain mahjong di sebuah rumah di Kampung Teratai, Sagil, dekat sini, baru-baru ini.

"Turut dirampas wang tunai RM100, 120 biji mahjong dan dua buah dadu. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 19 JANUARI 2012

Tiada ulasan: