TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

07 Januari 2012

KEBUN MACAM SAWAH


Oleh Hai Rozzaman Jalal

LEDANG: Kira-kira 20 pekebun kecil di Kampung Parit Kassim dekat Bukit Gambir di sini, kerugian lebih RM3,000 berikutan banjir di kebun kepala sawit menyebabkan mereka gagal mengeluarkan hasil berkenaan untuk dijual sejak tiga bulan lalu.

Wakil pekebun, Ramli Satari, 52, berkata, semua pekebun kecil kelapa sawit menerima nasib sama menyebabkan mereka tidak dapat memetik dan mengeluarkan buah kelapa sawit, sejak tiga bulan lalu kerana air dalam kebun mereka tidak mengalir ke parit berhampiran.

"Air bertakung dalam kebun akibat hujan lebat dan tidak dapat mengalir keluar ke longkang berikutan sistem perparitan tidak diselenggara dan dipenuhi rumput.

"Keadaan ini menyebabkan hampir 40 hektar kebun kelapa sawit di sepanjang parit berkenaan digenangi air sedalam 0.3 meter dan menyukarkan pekebun mengeluarkan hasil untuk dipasarkan," katanya.

Menurutnya, berikutan itu pekebun terpaksa menanggung kerugian hingga melebihi RM3,000 sebulan sejak tiga bulan lalu kerana buah kelapa sawit tidak dapat dipetik dan busuk di atas pokok.

Katanya, sistem perparitan yang sepatutnya mengalirkan air dari kebun ke Sungai Sawah Ring dipenuhi rumput dan tidak dapat berfungsi dengan berkesan.

"Sistem perparitan itu sepatutnya dibersihkan secara berkala bagi melancarkan pengaliran air ke sungai berdekatan walaupun berlaku musim tengkujuh," katanya.

Pekebun, Badrulhisham Abu Bakar, 50, berkata kebun sawit milik ibunya turut terjejas dan mereka menghadapi masalah sama kerana air bertakung di seluruh kebun.

"Disebabkan air di kebun, pekerja tidak mahu memetik buah kelapa sawit kerana bimbangkan keselamatan masing-masing dengan ancaman haiwan liar dan berbisa.

"Keadaan itu merugikan ibu kerana tidak mendapat sebarang hasil sedangkan ia boleh diatasi sekiranya pihak berkuasa menjalankan tugas masing-masing," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 07 JANUARI 2012

Tiada ulasan: