PENGUNJUNG SETIA

06 Julai 2013

JKM BANTU WARGA EMAS


JKM bantu warga emas
Ab Gani beramah mesra dengan Tijah sebelum menghantarnya ke pusat jagaan warga emas di Rumah Seri Kenangan Cheng, Melaka, semalam.
 
LEDANG - Nasib seorang warga emas yang tinggal sendirian di sini, mendapat pembelaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membantu menempatkannya di pusat jagaan Rumah Seri Kenangan Cheng, Melaka, semalam.

Tijah Sharif, 76, dari Kampung Raya, Asahan, Tangkak dekat sini, tidak dikurniakan cahaya mata dan kematian suami sejak tiga tahun lalu, menyebabkan dia yang menghuni di rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dibina atas keprihatinan pemimpin setempat dalam kesepian.

Selain faktor usia, penyakit sawan yang dihidapinya menghalang dia menguruskan rumah dengan sempurna.

Tijah yang juga penerima bantuan orang tua JKM sebanyak RM300 sebulan sejak 2010, mendapat perhatian daripada jiran yang sudi menghulurkan bantuan seperti makanan harian.

Pegawai JKM Ledang, Ab Gani Ab Bakar berkata, pihaknya mengambil tindakan membantu warga emas itu selepas menerima aduan daripada penduduk setempat di kawasan berkenaan.

Menurutnya, Tijah akan ditempatkan di pusat jagaan tersebut bertujuan bagi memberikan perlindungan yang lebih selesa agar dia dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik.

“Pihak kami akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti ahli keluarga terdekat, jika tiada maklum balas yang diterima pihak kami akan mendapatkan perintah dari mahkamah untuk menempatkannya di pusat jagaan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Ab Gani berkata, kes terpencil seperti itu kesedaran dan keprihatinan masyarakat amat penting untuk membantu warga emas senasib Tijah.

“Terdapat juga warga emas yang enggan berpindah ke pusat jagaan dan mereka (masyarakat) berperanan menghulurkan bantuan serta perhatian sewajarnya,” katanya.

Jelasnya, tahun lalu pihaknya berjaya menyelesaikan enam kes seumpama itu dan sehingga Jun tahun ini sebanyak tiga kes dapat diselesaikan.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan warga emas terabai atau tinggal bersendirian tanpa waris boleh menghubungi pejabat JKM Ledang di talian 06-978 8588 / 544.
 
SUMBER: SINAR HARIAN, 06 JULAI 2013

Tiada ulasan: