PENGUNJUNG SETIA

05 Julai 2013

MDT BERAZAM BERI KHIDMAT TERBAIK

LEDANG 4 Julai - Majlis Daerah Tangkak (MDT) berazam memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai tanpa mengira kaum selaras penganugerahan Sijil MS ISO 9001: 2008 diberikan oleh SIRIM Berhad, di sini hari ini.

Yang Dipertuanya, Ab. Han Ramin berkata, penganugerahan itu menjadi wadah baharu kepada warga pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam memberi perkhidmatan terbaik dan lebih mendekati penduduk setempat yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama.

"Peranan dan fungsi PBT dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam amat penting kerana orang ramai menganggap PBT kerajaan bagi mereka.

"Dalam erti kata lain, pada pandangan orang ramai, sekiranya baik mutu perkhidmatan diberikan PBT, maka baiklah mutu perkhidmatan awam atau kerajaan dan begitulah juga sebaliknya," katanya dalam majlis penyampaian sijil itu di sini.

Ab. Han berkata, walaupun MDT bukan PBT pertama di negeri ini dianugerahkan sijil itu, namun anugerah itu cukup bermakna buat warga kerjanya yang mempunyai keazaman tinggi dan sangat komited dalam melaksanakan tanggungjawab diamanahkan demi pembangunan di daerah ini.

Beliau berkata, usaha untuk melaksanakan MS ISO 9001:2008 sudah dilakukan secara serius sejak 2010 iaitu proses kritikal dan menjadi tumpuan pelanggan di MDT membabitkan sembilan jabatan di bawahnya.

Katanya, sijil yang diperoleh itu sah bermula 12 April tahun ini hingga 11 April 2015 dan pencapaian itu amat membanggakan dalam usaha memaju serta meningkatkan mutu perkhidmatan menerusi pemakaian sistem pengurusan berkualiti diiktiraf antarabangsa.

"Hasrat kerajaan mengguna pakai MS ISO 9001:2008 ini sebagai strategi menerapkan budaya kerja cemerlang dalam perkhidmatan awam, bukan saja dapat menghasilkan perkhidmatan terbaik dan memberi kepuasan kepada pelanggan tetapi meningkatkan budaya saing di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

"Ini akan memberikan petunjuk kekuatan pengurusan dan penyampaian perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan yang menjadi teras MDT," katanya.

MDT juga, kata beliau, komited dalam usaha memberikan perkhidmatan ke tahap tertinggi menerusi Pelan Strategik MDT yang bermula sejak 2009 hingga 2015 dengan sasaran membawa perubahan kepada kakitangan serta kepuasan kepada pelanggan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 05 JULAI 2013

Tiada ulasan: