PENGUNJUNG SETIA

11 Julai 2013

KELAB NADI AL-ANSAR PERINGKAT DAERAH DILANCAR

LEDANG 10 Julai - Kelab Nadi Al-Ansar Daerah Ledang dengan keahlian 9,000 pelajar dari 39 buah sekolah agama di bawah kendalian kerajaan negeri di sini dilancarkan di Sekolah Agama Bukit Gambir di sini semalam.

Pelancaran kelab tersebut disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abdul Razak Minhat di dewan terbuka sekolah berkenaan.

Abdul Razak ketika berucap menggesa mereka yang menganggotai kelab tersebut supaya menyemai semangat gotong-royong di samping meningkatkan ikatan persaudaraan sesama umat Islam.

Beliau berkata, kelab tersebut yang mula ditubuhkan ekoran daripada bencana banjir terbesar di Johor pada 2006 juga diharapkan dapat memainkan peranan utama apabila berlaku sebarang musibah pada masa depan.

"Pada masa sama, mereka hendaklah memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kecemerlangan dalam pelajaran sebagaimana keutamaan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin," ujarnya.

Dalam majlis itu, beliau menyaksikan penyerahan kutipan derma Pejabat Pendidikan Agama Daerah (PPAD) Ledang sebanyak RM4,511.75, hasil pelancaran Tabung Gaza daripada Pegawainya, Khalid Ithnin kepada wakil Aman Palestin Johor, Nurul Ahmady Abd. Rahman.

Abdul Razak berkata, di samping pelajaran, kepimpinan Menteri Besar yang baharu itu turut memberikan penekanan terhadap pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat negeri ini.

Beliau juga berharap, aktiviti badan sukarela seumpama itu dapat diteruskan hingga ke peringkat antarabangsa sebagai usaha meningkatkan semangat persaudaraan Islam sejagat ke arah yang lebih cemerlang.

Sementara itu, ketika berucap melancarkan Program Pengalaman Sakinah Peringkat DUN Serom di Sekolah Kebangsaan Tanjung Gading di sini, selepas itu, beliau menyifatkan program tersebut amat berguna kerana dapat meningkatkan jati diri remaja kepada ibu bapa mereka.

Selain itu katanya, ia juga akan menyemai perasaan saling menghormati dalam sesebuah keluarga sebagaimana dituntut oleh agama demi kebahagiaan keluarga.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 11 JULAI 2013

Tiada ulasan: