PENGUNJUNG SETIA

15 Julai 2013

NMR BERYANI JUARA GERAI BERSIH


Ledang: Gerai NMR Beryani Gam Johor milik Mohamed Raup Atan dipilih sebagai johan pertandingan Gerai Bersih Bazar Ramadan 2013 bagi Zon Tangkak, semalam.

Pertandingan anjuran Majlis Daerah Tangkak (MDT) dan Pejabat Kesihatan Ledang itu bertujuan menimbulkan kesedaran dalam kalangan peniaga bazar Ramadan berkaitan penjagaan kualiti dan keselamatan makanan yang dijual.

Pegawai Kesihatan Persekitaran MDT, Muhammad Sidek Arasu Abdullah berkata, pertandingan itu idea Yang Dipertua MDT Ab Han Ramin dan julung kali diadakan di daerah ini, malah menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Johor yang menganjurkannya.

"Kriteria diberi perhatian pada pertandingan ini membabitkan kualiti dan keselamatan makanan, kebersihan pengendali makanan serta kebersihan gerai.

"Selain itu, kesopanan peniaga serta keceriaan dan kekemasan gerai turut diambil kira.

"Pertandingan ini membabitkan tiga bazar Ramadan kelolaan MDT iaitu bazar Ramadan Jalan Naib Long, Jalan Gambir 7, Bukit Gambir dan bazar Ramadan Taman Tun Syed Nasir, Tanjung Agas," katanya.

Penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Parlimen Ledang Datuk Hamim Samuri diiringi Ab Han.

Muhammad Sidek berkata, tahun ini MDT menyediakan enam tapak bazar Ramadan membabitkan 252 petak.

Enam tapak niaga berkenaan terletak di Jalan Naib Long, Tangkak (56), Taman Tangkak Jaya (30), Jalan Gambir 7, Bukit Gambir (39), Taman Serom Utama (29), Taman Tun Syed Nasir, Tanjung Agas (80) dan 18 petak niaga berdepan sebuah kedai kasut di Tanjung Agas.

SUMBER: HARIAN METRO, 15 JULAI 2013

Tiada ulasan: