PENGUNJUNG SETIA

22 Julai 2013

MEMANFAATKAN SARANA IBU BAPA, AKHBAR

Sarana ibu bapa dan sarana sekolah merupakan satu program dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025 yang digerakkan untuk memastikan matlamat Falsafah Pendidikan Negara - melahirkan individu yang holistik dapat dijayakan dengan efektif.

Program tersebut berusaha untuk mengeksploitasi sarana sedia ada bagi membimbing dan mendidik pelajar.
Sarana adalah segala sesuatu yang dijadikan alat atau cara untuk mencapai sesuatu. Sarana sekolah termasuk sistem pembelajaran, pentadbir, guru, dan semua kemudahan yang ada di sekolah. 

Namun, kita masih kurang memberi perhatian terhadap sarana ibu bapa, masyarakat dan pihak swasta dalam pembelajaran dan pendidikan.

Pelajar menggunakan masa yang lebih banyak bersama-sama ibu bapa dan masyarakat. 

Oleh sebab itu, ibu bapa dan masyarakat wajar memainkan peranan mereka untuk mendidik anak dengan lebih berkesan. 

Ibu bapa bukan sahaja menyediakan kemudahan belajar di rumah dengan lebih selesa, malah wajar menyediakan emosi dan jiwa untuk belajar kepada anak-anak. 

Ibu bapa wajar memberi kasih sayang melalui tutur kata bersemangat, tindakan, sentuhan serta bimbingan untuk membentuk disiplin belajar yang baik. 

Sarana tersebut dapat melahirkan kesediaan anak-anak untuk menghadapi pembelajaran di sekolah. 

Selain itu, ibu bapa juga boleh memberi sumbangan secara langsung terhadap pembelajaran anak- anak di sekolah. 

Bagi tujuan tersebut, jawatankuasa khas dibentuk untuk mengumpul maklumat tentang sarana ibu bapa, dan perancangan serta pelaksanaan aktiviti untuk mencapai matlamat program ini. 

Hampir setiap keluarga berlanggan surat khabar. Surat khabar merupakan sumber maklumat dalam masyarakat yang belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh sekolah dan ibu bapa untuk membantu pembelajaran anak-anak. 

Hal ini demikian kerana kebanyakan berita dan rencana dalam surat khabar tidak selaras dengan tahap dan keperluan pembelajaran.

Surat khabar yang disediakan untuk bacaan umum memerlukan suntingan dan ubah suai untuk menjadi bahan pembelajaran. 

Tugas ini memerlukan kepakaran dan dedikasi guru. Sesetengah surat akhbar, khususnya Utusan Malaysia telah menyediakan bahan khusus untuk pembelajaran pelajar seperti sisipan ADaP - UPSR, PMR dan SPM.

Bahan tersebut tidak dapat digunakan oleh pelajar tanpa sokongan guru dan ibu bapa. Hal ini kerana pihak sekolah mungkin tidak dapat menyediakan setiap pelajar dengan surat khabar berkenaan. 

Bukan semua ibu bapa memiliki atau membelikan akhbar berkenaan untuk kegunaan anak-anak di rumah. 

Sekiranya ibu bapa yang melanggan Utusan Malaysia mendermakan naskhah ADaP kepada sekolah, sudah tentu pihak sekolah dapat mengumpulkan bahan tersebut untuk kegunaan pelajar di dalam bilik darjah.

Tambahan pula, bukan semua ibu bapa yang melanggan akhbar tersebut mempunyai anak yang memerlukan bahan tersebut. 

Oleh itu, aktiviti pengumpulan bahan tersebut akan dapat memanfaatkan sarana yang disediakan oleh akhbar untuk pelajar.

Sumber maklumat melalui papan kenyataan, poster dan sebagainya di sekolah dapat dilihat dan dibaca oleh pelajar setiap masa memerlukan penambahbaikan dari semasa ke semasa. 

Guru dan pelajar mungkin tidak cukup masa untuk menggantikan bahan-bahan dengan lebih kerap. Ibu bapa dan masyarakat boleh mengambil inisiatif untuk mengemas kini maklumat secara lebih kerap. 

Ibu bapa boleh membuat keratan akhbar tentang berita-berita yang sesuai untuk melengkapi papan kenyataan di bilik darjah atau sekolah. 

Langkah ini jika dapat dilaksanakan akan menceriakan bilik darjah dan memberi motivasi kepada pelajar untuk belajar.

Aktiviti tersebut yang melibatkan ibu bapa dan menggunakan surat khabar merupakan langkah untuk mengeksploitasi sarana sedia ada bagi kegunaan pelajar di sekolah. 

Aktiviti ini adalah antara cadangan yang boleh dilakukan dalam program Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah. Ahli jawatankuasa yang dilantik boleh memikirkan aktiviti lain sebagai usaha untuk memupuk semangat belajar yang lebih kental kepada pelajar.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bagi melaksanakan transformasi pendidikan wajar dihayati oleh semua pihak.

Ibu bapa dan masyarakat wajar mengambil tanggungjawab bersama dengan pihak sekolah untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.

MD ISHAK A. RAHMAN
SMK Ledang, Johor.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 22 JULAI 2013

Tiada ulasan: