MUAR 28 April - Taktik satu sindiket menjual diesel bersubsidi dengan
menggunakan lori membawa air batu berjaya dibongkar selepas kenderaan
itu ditahan untuk pemeriksaan oleh sepasukan polis di sebuah stesen
minyak di pekan Bukit Gambir, Ledang dekat sini, semalam.
Lori tersebut ditahan kira-kira pukul 6.30 petang selepas pemandunya
yang berusia 27 tahun dilihat berkelakuan mencurigakan sebelum
diserahkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan
Kepenggunaan (PPDNKK) untuk pemeriksaan lanjut.
Ketua PPDNKK daerah, Md. Arifin Baharin berkata, hasil pemeriksaan ke
atas lori itu mendapati terdapat 300 liter diesel bersubsidi bernilai
RM600 disimpan di dalam tangkinya yang telah diubah suai.
"Kita juga mendapati tangki yang telah diubah suai itu boleh
memuatkan 1,000 liter diesel," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya
di sini hari ini.
Menurut Md. Arifin, pihaknya percaya, pemandu lori tersebut akan
berhenti di beberapa stesen minyak untuk mengisi diesel bagi mengaburi
pihak berkuasa.
Ujarnya, minyak tersebut kemungkinan akan diedarkan kepada pengusaha
kilang sekitar daerah ini dan dijual pada harga yang lebih tinggi
berbanding harga pasaran semasa.
"Keseluruhan rampasan termasuk lori dan minyak diesel dianggarkan
bernilai lebih RM20,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 21, Akta
Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda
maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun," katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 29 APRIL 2014
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 29 APRIL 2014