PENGUNJUNG SETIA

21 April 2014

SINGAPURA MODEL TERBAIK UNTUK BERJAYA - HAMIM

LEDANG 20 April - Singapura adalah contoh terbaik untuk membangunkan negeri ini kerana berjaya muncul sebagai negara perindustrian terkemuka di rantau ini hasil daripada tenaga kerja yang berkualiti.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, negara jiran itu tidak mempunyai sumber semula jadi dan bahan mentah namun dasar pendidikannya berjaya melahirkan ramai pekerja mahir sekali gus mampu memenuhi tuntutan pelaburan asing.

"Kita boleh rujuk Singapura, mereka tidak mempunyai biji timah atau sumber minyak dan gas tetapi boleh berjaya sebagai sebuah negara kecil dengan mempunyai kekuatan ekonomi dan ukuran mata wang yang tinggi nilainya.

"Ini semua kerana mereka mempunyai modal insan yang sangat baik dan berpengetahuan tinggi," katanya semasa merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013 anjuran UMNO Bahagian Ledang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud Iskandar di sini semalam.

dalam majlis itu, seramai 123 pelajar terdiri daripada 55 pelajar cemerlang PMR, masing-masing 43 dan 25 pelajar SPM serta STPM menerima sijil dan wang tunai keseluruhan berjumlah RM43,300.

Hamim yang juga Ketua UMNO Bahagian Ledang berkata, Korea Selatan juga boleh dijadikan contoh kerana pencapaian negara itu sama seperti Singapura yang turut tidak mempunyai sumber asli tetapi ekonominya kukuh dan maju berasaskan perindustrian.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 21 APRIL 2014

Tiada ulasan: