TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

02 April 2014

TERBALIK BERSAMA BALAK

Oleh Hai Rozzaman Jalal

Ledang: Seorang pemandu terselamat daripada maut apabila lori balak yang sarat dengan muatan terbalik ketika mengambil selekoh tajam di berhampiran Kampung Parit Kassan, dekat Bukit Gambir, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, lori dipandu Abd Razak Jusoh, 50, yang dalam perjalanan ke sebuah kilang kayu di Sungai Mati, dekat sini, tiba-tiba hilang kawalan sebaik tiba di selekoh berkenaan sebelum terbalik.

Menurut Abd Razak, dia bertolak dari Muadzam Shah, Pahang awal pagi semalam, membawa muatan kayu balak bersama beberapa lori lain untuk dihantar ke kilang kayu berkenaan.
“Ini adalah kali pertama saya menggunakan jalan ini dan apabila mengambil selekoh apabila berasa kayu di belakang lori jatuh diikuti lori yang dipandu pandu tiba-tiba senget dan terus terbalik,” katanya.

Katanya, dia sempat memperlahankan lori apabila menyedari ada satu selekoh di hadapan, namun tidak menyangka ia satu selekoh tajam menyebabkan kenderaannya hilang kawalan.

“Mungkin rantai pengikat kayu balak itu longgar atau tercabut menyebabkan kayu menggelungsur jatuh. Saya cuba mengawal lori, namun ia terus terbalik.

Foto 
KEADAAN lori selepas terbalik dekat Kampung Parit Kassan.
“Nasib menyebelahi saya kerana tidak cedera dan sebaik lori terbalik saya terus keluar dan mematikan enjin dikhuatiri terbakar kerana diesel tumpah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir yang diketuai Pegawai Bomba Kanan 2 Musa Kasbullah bersama lima anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
Musa berkata, pihaknya menabur habuk kayu di atas jalan raya dilimpahi diesel yang tumpah dari lori berkenaan bagi mengelakkan jalan licin dan mendatangkan bahaya kepada pengguna lain.

Ketua Kampung Parit Kassan, Mohd Hamzah Basar, berkata kemalangan sering berlaku di selekoh terbabit membabitkan kenderaan dari arah Sagil ke Bukit Gambir.

Katanya, keadaan selekoh tajam menyebabkan ada kenderaan yang dipandu laju gagal mengawal pemanduan mereka sebelum terbabas.

“Kami berharap Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil langkah sewajarnya dengan melebarkan kawasan selekoh itu bagi mengelakkan kemalangan terus berlaku,” katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 02 APRIL 2014

Tiada ulasan: