TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

04 April 2014

MEDAN IKAN BAKAR PARIT KARANG BAKAL JADI TUMPUAN

ABD. Razak Minhat (kanan) meninjau jeti nelayan semasa lawatan ke tapak Medan Ikan Bakar Parit Karang di Kesang Laut, Ledang, Johor, semalam.

LEDANG 3 April - Medan Ikan Bakar Parit Karang di Kesang Laut di sini, yang kini dinaik­kan taraf dan mempunyai kemudahan baharu dengan kos RM300,000 bakal menyaingi populariti Medan Ikan Bakar Sabak Awor, Muar dan Medan Ikan Bakar Umbai, Melaka.

Lokasi Medan Ikan Bakar Parit Karang sangat strategik dengan pemandangan menarik kerana terletak kira-kira 400 meter dari pantai, dikelilingi pokok bakau,selain berada dalam kawasan jeti nelayan Parit Karang dan terletak di pertengahan antara kedua-dua medan ikan bakar sedia ada.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat berkata, Medan Ikan Bakar Parit Karang yang bakal berwajah baharu itu diyakini menjadi satu tarikan baharu dan merangsang ekonomi setempat memandangkan lokasinya yang bersempadan dengan Lebuh Raya Air Keroh-Melaka, Jasin (AMJ) dan kedudukannya kurang 20 kilometer dari Plaza Tol Tangkak dan Bukit Gambir.

“Kemudahan awam sudah siap dibina, begitu juga lampu-lampu jalan masuk yang kesemua kosnya lebih RM25,000. Pada 14 April ini tujuh gerai akan dibuka dari pukul 5 petang hingga tengah malam dengan pelbagai menu, antaranya ikan bakar, asam pedas, mi bandung, nasi lemak dan makanan tradisional seperti lempeng, ubi serta jemput-jemput.

“Dewan Serbaguna Kumpulan Ekonomi Nelayan Parit Karang yang dibina Februari lalu akan siap akhir Mei ini dengan kos RM250,000. Dewan ini bukan sahaja akan diguna untuk Pertubuhan Nelayan Kawasan (PNK) Ledang tetapi orang awam juga," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau medan ikan bakar itu di sini hari ini.

Selain itu katanya, lima lagi kedai makanan yang menyediakan makanan pagi akan dibina di kawasan berdekatan, beroperasi dari pukul 8 pagi hingga tengah hari, menggantikan warung kayu sedia ada. Di samping itu, semua pasar basah akan dibuka semula supaya orang ramai boleh membeli ikan-ikan atau makanan laut segar setiap hari selepas ini.

Dalam masa terdekat katanya, gelanggang gasing yang menjadi tumpuan permainan itu sebelum ini akan dinaik taraf, selain membina jambatan gantung sepanjang 20 meter melintasi kawasan kuala di situ.

“Turut diwujudkan satu kawasan santai untuk nelayan dan penduduk setempat berkumpul bermain dam atau karom. Pada masa akan datang kita mahu isteri-isteri nelayan meletakkan kuih-kuih mereka di sini," ujarnya.

Medan ikan bakar itu katanya, bukan sahaja memberi manfaat kepada 103 nelayan dengan 85 bot yang menggunakan enjin sangkut tetapi imej baharu dan menggilap semula potensi pelancongan daerah tersebut.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 04 APRIL 2014


Tiada ulasan: