PENGUNJUNG SETIA

28 April 2014

MALAYSIA TERAJU UTAMA INDUSTRI HALAL DUNIA

LEDANG 27 April - Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mengeluar, mengawal, mentadbir dan mengurus sijil halal yang diiktiraf di seluruh dunia dengan pasaran eksport produk bernilai RM32.8 bilion tahun lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, jumlah tersebut menyumbang lima peratus daripada hampir keseluruhan eksport negara yang bernilai RM800 bilion.

"Ketika ini, kita menerajui industri produk halal dunia dan masih banyak lagi pasaran barangan tersebut yang boleh diterokai. Untuk itu, usahawan Islam perlu merebut dan mengambil bahagian dalam meneroka pasaran produk halal dunia.

"Nilai pasaran dagangan yang ada mencecah trilion ringgit," katanya yang juga Ahli Parlimen Ledang ketika berucap merasmikan sambutan Maulidur Rasul di Masjid Sultan Ismail, di Tanjung Agas di sini semalam.

Kira-kira 1,000 pekerja kilang elektronik ST Microelectronics (M) Sdn Bhd., Micron (M) Sdn. Bhd. dan Pioneer Electronics hadir di majlis anjuran bersama kilang itu dengan Pejabat Kadi Daerah.

Sementara dalam bidang teknologi maklumat (IT) pula, katanya, pakar-pakar IT beragama Islam dari negara ini berjaya menyekat kegiatan ajaran sesat yang menggunakan kaedah salin dan tampal terhadap kandungan al-Quran.

Menurutnya, kegiatan ajaran sesat terbabit menambah juzuk al-Quran daripada yang asal 30 juzuk sehingga kepada 100 juzuk melalui kaedah salin dan tampal untuk mengelirukan umat Islam.

Sehubungan itu, beliau berkata, umat Islam wajib menguasai bidang dan kepakaran IT bukan sahaja untuk kemajuan tetapi bagi memastikan agama Islam terpelihara daripada sebarang penyelewengan oleh musuh Islam.

"Malaysia turut melahirkan 150 jurutera Islam yang kini berkhidmat dengan syarikat pengeluar pesawat Airbus yang berpangkalan di Perancis.

"Mereka ini terlibat dalam mereka bentuk pesawat masa depan dan sekaligus membuktikan umat Islam juga boleh maju dalam bidang aeroangkasa," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 APRIL 2014

Tiada ulasan: