TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

05 April 2014

HUBUNGAN MALAYSIA, CHINA BAIK

Wartawan Sinar Harian

Hubungan Malaysia, China baik
Hamim melawat gerai pelatih selepas merasmikan Eksplorasi Anak Muda di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Ledang di Serom 4, semalam.

LEDANG – Kerajaan memandang serius usaha  pihak tertentu yang cuba mengeruhkan lagi hubungan di antara negara Malaysia dengan China berhubung insiden penculikan seorang pelancong negara itu di Semporna, Sabah.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri berkata, perkara itu  tidak wajar dijadikan isu utama memandangkan kes tersebut agak terpencil dan tidak dijangka berlaku yang membabitkan warganegara China.

Beliau turut menasihatkan segelintir pihak agar tidak membuat penilaian sendiri yang langsung tidak signifikan tentang hala tuju hubungan negara China selepas ini.

“Kita sedar tragedi kehilangan pesawat MH370 yang membawa 153 penumpang termasuk seorang bayi dari  negara China memberi tamparan hebat kepada negara apabila media antarabangsa membuat laporan memburukkan negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Eksplorasi Anak Muda di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Ledang di Serom 4 di sini, semalam.

Ahli Parlimen Ledang itu mengulas mengenai penculikan seorang warga China yang berasal dari Shanghai, Gao Hua Yun, 29, dan seorang pekerja Filipina di sebuah resort di Semporna dekat Kota Kinabalu, Sabah, malam Rabu lalu.

Mengulas lanjut, Hamim berkata, kerajaan China masih menghargai hubungan dengan Malaysia sebagai rakan perdagangan dan kerjasama antarabangsa serta akan membuat usaha terbaik mengekalkan hubungan dua hala seperti  yang diperkatakan duta negara itu ketika berkunjung ke negara ini, baru-baru ini.

“Setakat ini hubungan kedua-dua negara masih baik serta tidak dipengaruhi dengan dua kejadian itu (kehilangan MH370 dan penculikan di Semporna).

“Negara China merupakan rakan dagangan paling utama  negara yang mencecah nilai dagangan bernilai RM500 bilion tahun lalu,” katanya.

Hamim  berkata, beliau yakin  pihak berkuasa terutamanya pasukan keselamatan di wilayah Kawasan  Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) akan dapat mengatasi masalah tersebut.

SUMBER: SINAR HARIAN, 05 APRIL 2014

Tiada ulasan: