PENGUNJUNG SETIA

06 April 2014

KOLEJ KOMUNITI PENGGERAK PROGRAM PENDIDIKAN ISLAM SEPANJANG HAYAT

LEDANG 5 April - Sebanyak 90 buah kolej komuniti di seluruh negara akan menawarkan Program Pendidikan Islam Sepanjang Hayat (PISH) yang menggabungkan aspek kemahiran dan pendidikan agama, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, program tersebut dibahagi dua fasa bermula tahun ini dan institusi itu dipilih kerana mempunyai kepakaran dalam pembelajaran sepanjang hayat sejak 2001.

“Program PISH ini akan dilaksanakan menerusi dua pendekatan iaitu latihan kemahiran dalam bidang teknikal, vokasional dan pendidikan keusahawanan yang digabung pendidikan agama kepada pelajar tahfiz dan sekolah pondok.

“Pendekatan ini menggunakan modul sijil Kolej Komuniti dan dilaksana mengikut permintaan dan kesesuaian golongan sasaran," katanya semasa melancarkan PISH di Kolej Komuniti Ledang di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri dan Penasihat Program PISH, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.

Muhyiddin berkata, pendekatan kedua adalah menyediakan Pendidikan Islam termasuk fardu ain dan fardu kifayah seperti al-Quran, hadis, fikah, tauhid, muamalat dan undang-undang Islam dalam bentuk yang mudah dan praktikal.

Program itu menyasarkan golongan pelajar tahfiz dan sekolah pondok serta belia, pelajar dan masyarakat setempat merangkumi kumpulan dewasa dan warga emas, katanya.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, fasa pertama pelaksanaan program PISH akan dilakukan secara berstruktur dan tersusun bertemakan ‘Membina Hubungan dan Mengeratkan Ukhuwah’ manakala fasa kedua bermula tahun depan bertemakan ‘Memperkasa Bakat Insan’ membabitkan tiga program untuk menyediakan kepelbagaian kepada golongan sasar dan komuniti.

“Pelaksanaan program PISH berbentuk pensijilan bergabung, program berkonsep free and easy at community college dan program pembelajaran Islam kontemporari yang menjurus kepada aspek fardu kifayah seperti prosedur pensijilan dan perundangan halal," katanya.

Menurutnya, pemilihan kolej komuniti itu bagi membolehkan perkongsian sumber membabitkan kewangan, tenaga pengajar, pembangunan modul dan prasarana dilaksanakan secara guna sama, sekali gus mengamalkan penjimatan perbelanjaan.

“Ini juga bermakna pelbagai premis termasuk politeknik, maahad tahfiz dan sekolah pondok yang mengambil bahagian menerusi program ini, boleh digunakan mengikut kesesuaian.

“Tenaga pengajar pula akan digembleng dalam kalangan pensyarah kolej komuniti, guru KAFA, guru Pendidikan Islam dan guru takmir yang mendapat pentauliahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya sambil memberitahu, pelaksanaan program PISH membabitkan kerjasama antara pelbagai institusi termasuk Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (Lepai), Jakim, Majlis Agama Islam Negeri, institusi tahfiz, sekolah pondok dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 06 APRIL 2014


Tiada ulasan: