PENGUNJUNG SETIA

22 April 2014

PROJEK TEBATAN BANJIR RM250 JUTA DI SEROM

LEDANG 21 April - Fasa pertama Projek Tebatan Banjir Sungai ­Kesang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom dengan kos RM250 juta akan dimulakan Jun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah membuat kajian dan mengenal pasti sungai-sungai yang akan terbabit melibatkan jarak sejauh 38 kilometer.

"Projek tebatan banjir ini melibatkan kerja-kerja pembersihan dan pelebaran sungai termasuk mendalam dan meluruskannya bagi mengatasi masalah banjir, terutamanya di dalam DUN Serom setiap kali musim tengkujuh.

"Kerja-kerja ini akan bermula dari Kesang Gate ke Kesang Tasik, Kundang Teluk Rimba, Pangkalan Besar, Sialang, Chohwong, Cabau, Asahan, Serom Panggung, Belumang sehingga ke Gersik," katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Wawasan Air di Balai Raya Kesang Tasik, di sini hari ini.

Program tersebut dianjurkan oleh Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dengan kerjasama syarikat Coca-Cola Malaysia dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pei Hwa, Sungai Mati.

Abd. Razak berkata, projek yang dibiayai kerajaan Persekutuan dan dilaksanakan agensi-agensi di ­peringkat daerah itu turut melibatkan kawasan sempadan dengan sungai di Melaka.

Beliau berkata, projek tersebut amat diperlukan bagi mengatasi masalah banjir hampir di semua kawasan terlibat terutamanya di Kesang Gate, Kesang Tasik, Teluk Rimba dan Kundang Teluk Rimba.

"Sebelum ini untuk mengatasi banjir kita sudah laksanakan kerja-kerja mengorek sungai yang cetek dan alirannya yang berliku diluruskan tetapi secara kecil-kecilan serta melibatkan beberapa kawasan sahaja," katanya.

Namun menerusi projek itu, kerja-kerja mendalam dan me­lebarkan sungai-sungai terlibat dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan laluan air lancar sebelum mengalir keluar ke Selat Melaka.

Mengenai program Wawasan Air yang diadakan, Abd. Razak me­nyarankan supaya program tersebut turut dianjurkan di peringkat sekolah rendah bagi melahirkan kesedaran tentang pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air, sekali gus menjimatkan penggunaannya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 22 APRIL 2014

Tiada ulasan: