Pusat sumber beri pelbagai manfaat
LEDANG 4 Ogos - Warga pendidik serta pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Temenggong Ahmad di Kundang Ulu dekat sini berbangga dengan kemudahan pusat sumber sekolah itu yang mampu memberi pelbagai manfaat kepada mereka.
Dengan perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang kian meluas di seluruh dunia, sekolah itu turut tidak ketinggalan malahan kini mampu menyediakan khidmat pengunaan ICT tanpa wayar.
Selain itu, mereka juga berharap Program Khidmat Bantu Pusat Sumber Sekolah berkenaan yang diadakan di sekolah itu sejak minggu lalu diharapkan mampu memperkemaskan struktur susunan pusat rujukan sekolah itu selari dengan kemajuan ICT.
Guru Perpustakaan Media sekolah itu, Salmi Haryati Mat Hussin, 26, berkata, melalui pusat sumber tersebut semua pihak akan memperoleh manfaat menggunakan segala kemudahan yang disediakan sama ada melalui Internet dan wayarles.
"Kemudahan ini bukan sahaja mampu diakses oleh pelajar dan guru, malah orang luar juga boleh menggunakannya selagi mereka berada di kawasan sekolah ini.
"Ini adalah salah satu kelebihan pusat sumber yang kini semakin berkembang pesat dan ini perlu dimanfaatkan oleh semua pihak," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
SMK Tengku Temenggong Ahmad yang mula dibuka sejak 1965 kini mempunyai seramai 640 pelajar tingkatan satu hingga enam serta 56 guru.
Menurut Salmi Haryati lagi, Program Khidmat Bantu Pusat Sumber Sekolah yang diadakan ini diharap menjadikan pengurusan pusat sumber di sekolah itu mampu diperkemaskan dan lebih cekap, khususnya dalam penggunaan ICT.
Sementara itu, Guru Kanan Bahasa sekolah tersebut, Nizar Ali, 44, berkata, program itu mampu meningkatkan minat membaca di kalangan pelajar dan ia selaras dengan perlaksanaan Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) di setiap sekolah.
Beliau yang berperanan sebagai Setiausaha program Nilam sekolah itu berkata, pengurusan pusat sumber dan minat membaca di kalangan pelajar seolah-olah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan untuk kejayaan murid.
Program Nilam ialah sistem pembacaan buku rujukan di kalangan pelajar yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran dan pelajar perlu melepasi beberapa tahap sebelum menerima gelaran jumlah buku yang pernah dibacanya.
Menurut Nizar, ia terbahagi kepada dua kategori iaitu Jauhari membabitkan pelajar perlu membaca sejumlah 72 hingga 143 buah buku sebelum diberi anugerah gangsa, diikuti perak untuk mereka yang membaca sejumlah 144 hingga 215 judul buku, emas (216 hingga 287 judul) serta nilam (288 judul ke atas).
Bagi kategori Rakan Pembaca pula, pelajar perlu membaca judul buku antara 100 hingga 199 sebelum dianugerah gangsa, diikuti perak (200 hingga 299), emas (300 hingga 399) dan nilam (400 judul ke atas).
"Saya berharap pelajar dapat memanfaatkan Program Khidmat Bantu Pusat Sumber Sekolah ini untuk meminati bidang bacaan yang disediakan di setiap pusat sumber," katanya.
Bagi Pengerusi Pusat Sumber sekolah tersebut, Nur Atikah Abas, 17, pelajar masa kini boleh dianggap bertuah kerana mereka disediakan dengan pelbagai kemudahan termasuk pusat sumber yang lebih canggih.
Katanya, semua kemudahan ini wajar dimanfaatkan kerana ia mampu membantu pelajar untuk berjaya dalam pelajaran, berbanding kemudahan yang terhad di pusat sumber sekolah ketika ICT masih belum berkembang pesat.
"Semua pelajar harus menjadikan pusat sumber ini sebagai tempat untuk membuat rujukan, khususnya dalam bidang ICT dan bacaan kerana ia merupakan gerbang untuk kita melihat apa yang berlaku di seluruh dunia," katanya.
Rakannya yang juga Naib Pengerusi Pusat Sumber sekolah, Mohammad Aniyail Hairudin, 17, pula berkata, kemudahan pusat sumber ini digunakan oleh pelajar yang kurang berkemampuan dan tidak mempunyai kelengkapan ICT di rumah.
Malah, katanya, pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting juga harus menggunakan kemudahan pusat sumber ini dan program khidmat bantu yang diadakan itu membolehkan pengurusannya dinaik taraf.
Sumber: Utusan Malaysia, 5 Ogos 2008