TANGKAK: Gara-gara kerap ditegur kerana selalu ponteng sekolah dan sering lewat pulang ke rumah, seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di sini, Siti Nafsiah Norhaidi, 15, menghilangkan diri dengan pakaian seragam sekolah, sejak awal Jun lalu.
Bapa saudara kepada remaja perempuan itu, Johari Buntal, 36, dari Kampung Seri Jaya di sini, berkata Siti Nafsiah seperti biasa keluar dari rumah kira-kira jam 7 pagi pada 2 Jun lalu dengan menaiki bas ke sekolah bersama rakannya.
Bagaimanapun, katanya anak saudaranya itu yang tinggal bersama nenek, Marsini Abd Manan, 71, di kampung berkenaan tidak pulang ke rumah walaupun puas menunggunya hingga ke malam hari.
"Siti Nafsiah anak sulung empat beradik dan tinggal bersama neneknya selepas kematian ibunya pada 2000 manakala bapanya sehingga sekarang tidak dapat dikesan selepas meninggalkan kampung berikutan kematian isterinya.
"Kami bersama penduduk kampung puas mencarinya termasuk bertanyakan kepada rakan sekolah, tetapi tiada maklumat mengenai Siti Nafsiah," katanya yang ditemui di Kampung Seri Jaya di sini, kelmarin.
Johari mengakui pernah menegur sikap Siti Nafsiah yang sering pulang lewat dari sekolah sebelum ini dan teguran itu bertujuan mendidiknya supaya menjadi manusia berguna.
Menurutnya, sebagai bapa saudara, dia tidak mahu melihat remaja itu bergaul dengan remaja yang rosak akhlak sekali gus terjebak dalam gejala sosial.
"Kehilangannya sudah dilaporkan di Balai Polis Sungai Mati, pada 13 Ogos lalu, selepas gagal mengesannya, termasuk mencari di rumah saudara-mara di luar kawasan serta kenalannya.
"Justeru, saya merayu kepada Siti Nafsiah supaya pulang ke pangkuan keluarga kerana neneknya kini uzur, manakala adik-beradik sangat merinduinya," katanya.
Sehubungan itu, Johari berharap orang ramai yang mengetahui lokasi Siti Nafsiah berada atau mengenalinya supaya menghubunginya melalui talian telefon bimbit 013-6937758 atau balai polis berhampiran.
SUMBER: HARIAN METRO, 18 OGOS 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan